21
Sel, Nov
904 ARTIKEL BARU

PM Najib Tiba di Amerika

Dunia
Typography

WASHINGTON - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selamat tiba di Washington untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump.

Pertemuan di antara kedua-dua pemimpin tersebut dijadualkan hari ini di White House.

Ketibaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disambut Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique di Joint Base Andrews di Maryland.

Pertemuan tersebut diadakan atas undangan Trump itu bersempena sambutan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika.

Perdana Menteri dijangka memohon sokongan Amerika dalam usaha menghentikan keganasan oleh pihak tertentu terhadap etnik Rohingya di Myanmar pada pertemuan tersebut.

Kuala Lumpur mengulangi komitmennya untuk memperjuangkan hak etnik Rohingya dan menghantar misi kemanusiaan bagi membantu pelarian yang didakwa meninggalkan kampung halaman mereka untuk mengelak daripada menjadi mangsa penindasan tentera Myanmar.

Kunjungan Perdana Menteri itu dijangka akan mengukuhkan lagi Kerjasama Strategik Malaysia-Amerika, di samping untuk mencorakkan kerjasama dari segi hubungan dua hala dan antarabangsa pada masa akan datang.

Najib dan Trump dijadual mengadakan rundingan secara empat mata di Oval Office, diikuti mesyuarat delegasi dengan anggota dan penasihat kanan pentadbiran Trump, termasuk Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rrx Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Turus Jen John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara Lt Jen H.R. McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner.

Semasa berada di sini, Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan pengerusi dan anggota Jawatankuasa Senat mengenai Hubungan Luar Amerika, sebuah badan berusia 200 tahun yang berperanan penting dalam membentuk dasar luar Amerika, di Capitol Building.

Perdana menteri juga dijadual berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Center for Strategic and International Studies (CSIS).