21
Sel, Nov
904 ARTIKEL BARU

Najib: Malaysia Bantu Perkukuh Ekonomi AS

Dunia
Typography

WASHINGTON DC - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu katanya, Malaysia juga menerusi Malaysia Airlines Bhd (MAB) turut akan membeli lebih banyak pesawat Boeing dari negara ‘Uncle Sam’ itu.

Langkah itu ujar beliau adalah bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.

Menurutnya lagi, KWSP sahaja dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion (AS$1 > RM4.19) di negara itu.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan.

"Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus iaitu pertama, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh MAB.

"Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

"Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga itu akan bernilai melebihi AS$10 bilion," katanya.

Perbincangan dengan Trump itu adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 September, atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu.

Menurut Najib lagi, kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

"Keduanya, kami memiliki KWSP, dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya.