23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

Presiden Turki Ulangi Ikrar Buka Kedutaan Di Baitulmuqaddis Timur

Dunia
Typography

ISTANBUL - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Ahad mengesahkan hasrat negara itu untuk membuka kedutaannya di Baitulmuqaddis Timur, yang diakui sebagai ibu negara Palestin oleh pemimpin Islam beberapa hari lalu, lapor agensi berita Xinhua.

"Kami telah mengisytiharkan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, tetapi kami belum dapat membuka kedutaan di sana kerana Baitulmuqaddis kini sedang diduduki," kata Erdogan ketika mesyuarat bersama Parti Keadilan dan Pembangunan yang memerintah di wilayah Karaman di tengah Anatolia .

"InsyaAllah kita akan membuka kedutaan di sana," katanya memetik laporan Hurriyet Daily News.

Rancangan menempatkan kedutaan di Baitulmuqaddis Timur diumumkan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pada Khamis, sehari selepas pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam bertemu di Istanbul dan mengakui Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Langkah itu sebagai tindakan balas terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Langkah sepihak yang diambil Presiden AS Donald Trump pada 6 Disember itu, mencetuskan pertempuran ganas di wilayah Palestin serta bantahan di negara lain.

"Jangan cuba untuk ambil alih operasi Zionis (Israel). Jika berbuat demikian, risiko yang perlu ditanggung amatlah berat," amaran pemimpin Turki itu.

 

Status Baitulmuqaddis menjadi antara isu utama berkaitan dengan proses perdamaian Israel-Palestin. -- BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.