26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Malaysia Berdiri Teguh Bersama Arab Saudi - Hishammuddin

Dunia
Typography

KUALA LUMPUR - Malaysia berdiri teguh bersama Arab Saudi dalam semangat perpaduan dan bertekad dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara beraja itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata apa-apa yang mengancam negara itu hanya akan mencetuskan ketidakstabilan di rantau tersebut dan ummah secara keseluruhan.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan (serangan peluru berpandu oleh puak Houthi Yaman ke atas bandar-bandar di Arab Saudi). Kami terkejut dan marah terhadap tindakan pencerobohan ini yang secara terang-terang tidak menghormati langsung kesucian tempat-tempat suci ini.

"Dengan menyasarkan Kota Suci Mekah, mereka benar-benar mencabuli teras kepercayaan kita. Niat mereka ialah untuk menyerang Kota Suci adalah sama seperti melanggar rukun Islam yang menjadi tiang agama,"kata Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau menyampaikan ucapan itu di Jeddah semalam pada Mesyuarat Tergempar Menter-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam yang diadakan untuk mengambil tindakan segera terhadap serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh puak Houthi.

Pertahanan udara Arab Saudi dilaporkan telah menangkis peluru berpandu balistik yang ditembak oleh puak Houthi Yaman ke atas Makkah pada 28 Julai dan Riyadh pada 19 Dis tahun lepas.

Pakatan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi dipetik dalam laporan berita sebagai berkata serangan tersebut boleh meningkatkan perang proksi antara negara beraja itu dan Iran.

Hishammuddin menyifatkan serangan ke atas Riyadh dan Makkah sebagai terang-terang mencabuli kedaulatan Arab Saudi sambil menambah ia juga menimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan, serantau dan global.

Beliau juga berkata Malaysia amat bimbang terhadap laporan yang menyatakan bahawa Iran membekalkan peluru berpandu balistik kepada puak Houthi.

"Oleh itu, adalah penting untuk mengamalkan pendirian tidak campur tangan dan tiada negara membekalkan puak Houthi Yaman dengan peluru berpandu balistik yang mengancam untuk menghancurkan perpaduan ummah kita,"kata beliau.

 

- BERNAMA