20
Jum, Jul
50 ARTIKEL BARU

Lawatan Ke India Bakal Bawa Hubungan Dengan Malaysia Ke Tahap Lebih Baik - PM Najib

Dunia
Typography

NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin lawatannya ke India kali ini bakal membawa hubungan Malaysia dengan negara itu ke tahap yang lebih baik.

Najib menerusi ‘live FB’ hari ini memaklumkan walaupun jadual untuk lawatannya itu padat, namun beliau optimis ia akan berjalan dengan lancar.

“Banyak perkara akan dibincang dan diketengahkan antaranya melibatkan soal perdagangan, pelaburan, keselamatan dan juga pertimbangan geopolitik.

“Saya baru sahaja selesai berbincang dengan para pegawai kerajaan yang telah bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan lawatan ini mencapai kejayaan.

“Walaupun jadual untuk lawatan ini padat, saya yakin semua akan berjalan lancar dan saya juga akan mengadakan pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Kalau sekiranya lawatan saya yang lalu telah menghasilkan komitmen pelaburan berjumlah RM158 bilion pada jangka panjang, saya yakin lawatan pada kali ini akan membawa hubungan Malaysia-India ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Najib ketika ini berada di India atas undangan Modi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India bersempena sambutan ulang tahun ke-25 hubungan dialog ASEAN-India, yang akan turut dihadiri kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN.

Beliau yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Kesihatan dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.