17
Jum, Ogs
62 ARTIKEL BARU

AS, China Setuju Elak Perang Dagangan - Beijing

Dunia
Typography

BEIJING - Washington dan Beijing hari ini bersetuju menamatkan perang dagangan dan mengelak daripada mengenakan tarif (cukai) terhadap satu sama lain, lapor media kerajaan China.

Pengumuman itu dibuat selepas rundingan peringkat tertinggi di ibu negara Amerika Syarikat (AS), susulan ketegangan selama berbulan-bulan berikutan kenyataan Presiden Donald Trump bahawa hubungan komersial kedua-dua gergasi ekonomi dunia itu berat sebelah.

"Kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengelak perang dagangan dan berhenti meningkatkan tarif terhadap satu sama lain. Perjanjian adalah satu 'keperluan', namun usaha meredakan ketegangan tidak boleh diselesaikan hanya dalam tempoh sehari.

"Penyelesaian masalah struktur ekonomi dan hubungan dagangan antara kedua-dua negara memerlukan masa," kata Naib Perdana Menteri China, Liu He yang dipetik agensi berita kerajaan Xinhua, hari ini.

Trump berulang kali menyelar defisit dagangan negaranya dengan China sambil menyifatkannya sebagai merbahaya kepada keselamatan AS dan mengancam untuk mengenakan tarif ke atas berbilion dolar produk dari China.

Tahun lalu, AS mengalami defisit dagangan sebanyak AS$375.2 bilion (RM1.49 trilion) dengan China. Ahli politik populis menyalahkan kuasa ekonomi Asia itu kerana menjejaskan peluang pekerjaan rakyat AS, sejak beberapa dekad lalu.

Washington dilaporkan menuntut defisit itu dikurangkan kepada sekurang-kurangnya AS$200 bilion (RM794.40 bilion) menjelang 2020. Namun, kenyataan bersama itu tidak menyatakan sama ada China bersetuju dengan sasaran terbabit. - AFP