18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

Tujuh juta kanak-kanak Yaman diancam kebuluran serius

Dunia
Typography

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Tabung Kecemasan Kanak-kanak PBB (Unicef) memberi amaran lebih tujuh juta kanak-kanak di Yaman kini berdepan ancaman kebuluran yang serius.

"Hari ini, 1.8 juta budak di bawah usia lima tahun menghadapi masalah kekurangan zat makanan yang teruk dan 400,000 lagi berdepan malnutrisi akut yang teruk," kata Pengarah Serantau agensi itu di Timur Tengah dan Afrika Utara, Geert Cappelaere.

Menurutnya lagi, lebih separuh daripada 14 juta penduduk yang berisiko kebuluran di Sanaa adalah kanak-kanak.

"Menghentikan peperangan saja tidak cukup. Apa yang kita perlu lakukan adalah menamatkan perang dan mewujudkan sebuah mekanisme kerajaan yang membela nasib penduduk dan golongan budak.

"Peperangan telah memburukkan lagi situasi di negara bergolak itu," tegasnya.

Cappelaere juga mengalu-alukan gesaan PBB untuk membangkitkan semula rundingan damai di negara itu dalam tempoh sebulan.

"Tempoh 30 hari akan datang adalah sangat kritikal untuk memulihkan pengagihan bantuan dan menyelamatkan nyawa penduduk di negara itu," ujarnya lagi.

Data agensi antarabangsa itu menunjukkan, lebih 6,000 budak terbunuh atau alami kecederaan serius akibat konflik di negara itu sejak 2015. - Press TV