26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Musa Aman Dah Balik...

Bahasa Melayu
Typography

SELEPAS meninggalkan Sabah kira-kira empat bulan lalu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pulang ke negeri ini apabila tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menaiki pesawat khas pada 12.30 tengah hari, hari ini.

Sejurus keluar di balai ketibaan di bangunan terminal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu disambut kira-kira 1,000 penyokong yang melaungkan ‘hidup Tan Sri’.

Musa yang kelihatan memegang tongkat kemudian terus dibawa menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai menuju ke Jesselton Medical Centre (JMC) di Jalan Lintas Bypass, Kota Kinabalu, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Musa yang dirawat di hospital swasta di Subang Jaya, Selangor, sebelum ini perlu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga sebelum 11 September ini, atau hilang kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Sementara itu, peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad ketika dihubungi berkata, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu dijangka mengangkat sumpah sebagai ADUN, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan bila majlis angkat sumpah diadakan atau sama ada Musa akan dirujuk ke JMC untuk pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.