KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan sahaja dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat untuk memilih kepemimpinan terbaharu bagi lima tahun akan datang, tetapi juga diikuti rapat oleh pelabur dalam pasaran saham.
Memetik laporan portal The Edge Markets, pasaran saham diramal akan menjadi sangat kukuh dan keyakinan pelabur asing juga bakal meningkat sekiranya Barisan Nasional (BN) menang selesa.
Malah, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga akan menyaksikan perolehan lebih tinggi sekiranya BN kembali memenangi majoriti dua pertiga yang pernah diperoleh sehingga PRU-12 pada tahun 2008.
Jelas laporan tersebut yang memetik pandangan beberapa pengurus dana, mengikut kepada data-data lalu, FBM KLCI berada pada paras lebih baik dalam tempoh 12 bulan selepas PRU semasa lima daripada tujuh PRU sebelum 2008.
“Dari tahun 1978 sehingga 1995, perolehan purata FBM KLCI dalam tempoh 12 bulan selepas PRU berjaya merekodkan sebanyak 32.7 peratus.
“Sekiranya BN hanya berjaya mengekalkan majoriti mudah pun, pasaran saham dijangka melonjak dengan positif walaupun akan sedikit mendatar beberapa hari menjelang hari pengundian seperti yang berlaku dalam PRU yang lalu,” kata laporan itu