20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Pengangkutan Awam Bakal Jana Pulangan Hingga RM17 bilion

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Pulangan ekonomi yang bakal dijana Prasarana Malaysia Bhd tahun ini dijangkakan mencapai RM17 bilion berbanding RM13.3 bilion tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata jumlah ini dijangkakan bertambah menjelang 2030 apabila jumlah pengguna yang menggunakan pengangkutan awam meningkat kepada 40 peratus berbanding 21 peratus setakat ini.

"Amat penting bagi setiap dari saudara saudari sekalian menyedari bahawa tugas yang anda jalankan amat kritikal untuk negara.

"Apabila saudara-saudari datang memulakan kerja setiap pagi, ingatkan pada diri bahawa ini bukan sekadar kerja, malah bakti kepada bangsa dan negara," katanya pada majlis khas Sepetang Bersama Perdana Menteri bersama warga kerja Kumpulan Prasarana Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia telah mencatat sejarah menerusi pelaksanaan pelbagai projek pengangkutan awam secara terancang dan teratur.

Najib berkata landskap pengangkutan awam negara bermula dengan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sebagai badan induk pengawalseliaan Pengangkutan Awam, diikuti projek-projek seperti penyambungan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal siap sepenuhnya Julai ini.

Selain itu, beberapa projek lain turut dilaksanakan seperti projek LRT 3, Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura, dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

"Saya juga telah memilih tarikh yang sesuai untuk melancarkan fasa kedua MRT (laluan Kajang - Sungai Buloh) pada 17 Julai ini.

"Tarikh ini akan kekal dalam sejarah negara kita kerana inilah gambaran 'pengangkutan moden masa depan di Malaysia'," katanya.

Projek fasa kedua MRT tersebut berjaya dilaksanakan mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan. -- BERNAMA