25
Isn, Sep
686 ARTIKEL BARU

RM5.88 Bilion Untuk PKS Tahun Ini - Najib

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Dana berjumah RM5.88 bilion telah dikeluarkan bagi program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 2017 yang sedang dilaksana 16 kementerian dan lebih 60 agensi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dana tersebut sejajar dengan penetapan 2017 sebagai tahun 'mempromosi pembangunan PKS dan pemula niaga', dalam usaha kerajaan meningkatkan sumbangan PKS kepada negara.

"Saya juga difahamkan yang hasil utama kaji selidik PKS bagi suku pertama 2017 menunjukkan prestasi perniagaan PKS bertambah baik.

"Saya yakin matlamat jangka panjang dan hala tuju di bawah Pelan Induk PKS untuk mempergiatkan pertumbuhan PKS ke arah pencapaian status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 mampu direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil Dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) ke-22 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

Bagi tempoh 2007 hingga 2016, Najib berkata, PKS telah mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 5.4 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan tahunan purata ekonomi keseluruhan, iaitu 4.2 peratus.

Pada tahun lepas, pertumbuhan PKS berkembang 5.2 peratus dan pertumbuhan eksport PKS pula meningkat 6.6 peratus walaupun persekitaran ekonomi global yang agak mencabar.

Perdana Menteri turut mengumumkan penganjuran Minggu PKS Kebangsaan yang keenam pada 25 Jun sehingga 1 Julai 2018.

Katanya, ia sempena pengumuman Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Antarabangsa pada 27 Jun, yang telah ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada April lepas. -- BERNAMA