12
Sel, Dis
906 ARTIKEL BARU

Aspirasi TN50 Pada Meja Bulat Ekonomi Dalam Bajet 2018

Ekonomi
Typography

PUTRAJAYA - Beberapa cadangan dan aspirasi berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diutarakan dalam Perbincangan Meja Bulat Ekonomi akan dimasukkan ke dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan 27 Okt nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata setiap perkara atau program yang dibincangkan dalam TN50 tidak semestinya dilakukan pada 2050 tetapi boleh dilaksanakan sekarang dalam usaha membentuk Malaysia menjelang 2050.

Katanya ada beberapa aspek yang perlu dilakukan sekarang sebelum negara menuju ke arah TN50.

"Beberapa perkara boleh dilaksanakan hari ini, dan kita harus cuba melakukannya sekarang,"katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis perbincangan meja bulat isu-isu semasa dan isu sosioekonomi penduduk bandar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengalu-alukan kehadiran kira-kira 26 wakil badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sosial dan agensi kerajaan berkaitan kebajikan sosial ke sesi meja bulat itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan untuk menggubal misi baharu negara.

"Idea keseluruhannya adalah bagi kami mendapatkan idea dan maklum balas anda supaya kami boleh putuskan apa yang kita boleh lakukan bersama untuk aspirasi yang diutarakan. Ia adalah mengenai apa yang kita boleh lakukan dan sejauh mana perjalanan ke arah 2050,"katanya.

Najib berkata beberapa cadangan dan idea berkaitan dengan TN50 perlu dimasukkan ke dalam Bajet 2018 memandangkan ia kemungkinan melibatkan program jangka panjang.

Sebagai contoh, beliau berkata:"Ia adalah seperti kapal tangki besar dan apabila perlu memusingnya, ia perlu dilakukan beberapa batu jauhnya sebelum tiba di pelabuhan. Kita tidak boleh berpusing secara tiba-tiba ketika menghampiri pelabuhan. Ia tidak sepatutnya dilakukan begitu.

 

"Begitu juga banyak perkara yang boleh dilakukan untuk negara, dan perubahan itu akan meliputi semua generasi. Contohnya, perubahan pada sistem pendidikan negara kita, ia memerlukan jangka masa sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun dalam keputusan polisi. Kalau satu keputusan tidak dibuat sekarang, maka sudah tentu kita tidak akan dapat lihat keputusan dalam 15 hingga 20 tahun,"katanya. -- BERNAMA