12
Sel, Dis
884 ARTIKEL BARU

Bajet 2018 : Bursa Dijangka Niaga Tinggi Minggu Depan

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - FBM KLCI diunjur diniagakan tinggi minggu depan apabila momentum dijangka meningkat menjelang pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata Bajet 2018 dijangka memberi sokongan kepada pasaran dengan lebih banyak peruntukan dijangka diberikan.

FBM KLCI dijangka mencecah paras 1,780 dalam tempoh beberapa minggu akan datang berikutan jangkaan kenaikan gaji dan semakan semula elaun bagi penjawat awam, ditambah dengan lebih banyak pelepasan cukai, katanya sambil menambah ini akan menjadi pemangkin besar bagi FBM KLCI pada minggu depan dan minggu-minggu seterusnya.

“Kita juga akan melihat beberapa pemangkin dari pasaran Amerika Syarikat (AS). Kita melihat keyakinan sekarang disebabkan pemulihan dan kita juga melihat ketegangan yang semakin mereda antara Korea Utara dan AS, yang membawa kepada pengurangan aliran keluar dana asing,” katanya kepada Bernama.

Nazri Khan berkata angka eksport tinggi yang diumumkan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri pada Jumaat juga memberi sokongan kepada Bursa Malaysia, manakala pendapatan korporat dijangka melantun semula.

Eksport Malaysia pada Ogos 2017 meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun kepada RM82.23 bilion, mengatasi paras RM80 bilion bagi kali kedua dalam 2017, manakala jumlah perdagangan meningkat 22 peratus kepada RM154.59 bilion.

Sementara itu, lebihan perdagangan meningkat kepada RM60.84 bilion bagi tempoh lapan bulan pertama 2017 berbanding RM52.47 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

FBM KLCI kebanyakannya tinggi minggu ini, seiring dengan prestasi kukuh Wall Street berikutan pertumbuhan kukuh ekonomi AS, serta keyakinan terhadap tambah baik cukai.

US Bureau of Labour Statistics akan mengumumkan data senarai gaji bukan ladang pada lewat semalam.

 

Bagi asas mingguan, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 8.42 mata kepada 1,764.0 daripada 1,755.58 pada Jumaat. - BERNAMA