17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Pendapatan Isi Rumah Golongan Pertengahan Meningkat 6.6 Peratus

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah penengah atau golongan pertengahan di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus daripada RM4,585 pada 2014 kepada RM5,228 pada tahun lalu.

Media tempatan melaporkan,  Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin sebagai berkata purata pendapatan isi rumah bulanan secara keseluruhan turut meningkat sebanyak 6.2 peratus iaitu daripada RM6,141 pada 2014 kepada RM6,958 pada 2016.

"Kadar kemiskinan pada 2016 susut kepada 0.4 peratus berbanding 0.6 peratus dua tahun sebelumnya, kadar kemiskinan juga bertambah baik di bandar dan luar bandar, masing-masing pada kadar 0.2 peratus dan satu peratus.

"Selain itu, kumpulan pertengahan 40 peratus atau M40 mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dengan peningkatan 6.9 peratus setahun berbanding kumpulan lain iaitu kumpulan pendapatan terendah 40 peratus (B40) sebanyak 6.6 peratus dan kumpulan pendapatan tertinggi 20 peratus (T20) sebanyak 6.2 peratus.

"Pendapatan isi rumah bulanan penengah bagi etnik India menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu lapan peratus setahun, diikuti Cina 7.1 peratus dan Bumiputera tujuh peratus," katanya seperti dipetik Berita Harian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Statistik Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2016, di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Untuk info, Jabatan Perangkaan menjalankan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (PPIR&KA) bagi tahun lalu dan tahun ini, antara lain untuk mengumpul maklumat berkaitan ciri-ciri isi rumah rakyat di negara ini membabitkan pendapatan isi rumah dan keperluan asas.

PPIR&KA dilakukan secara bersemuka sejak Mei 2016 hingga April lalu, yang mana sebanyak 83,000 isi rumah ditemuramah sepanjang tempoh penyiasatan.

Terdahulu, pada majlis yang sama, 16 laporan yang sudah diterbitkan jabatan berkenaan merangkumi Laporan PPIR&KA 2016, Laporan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 dan 14 laporan PPIR&KA 2016 kesemua negeri termasuk dua wilayah persekutuan dibentangkan.

Mohd Uzir memaklumkan, laporan mengikut negeri turut memaparkan laporan mengikut daerah yang julung kali dilakukan pihaknya.

"Laporan pendapatan isi rumah mengikut negeri menunjukkan tujuh negeri melepasi pendapatan isi rumah bulanan penengah nasional iaitu sebanyak RM5,228," katanya.

Kuala Lumpur mendahului negeri lain dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM9,073 diikuti Putrajaya (RM8,275), Selangor (RM7,225), Labuan (RM5,928), Johor (RM5,652), Melaka (RM5,588) dan Pulau Pinang (RM5,409).

Bagi pendapatan isi rumah mengikut daerah, Sepang kekal sebagai daerah yang merekodkan pendapatan isi rumah penengah tertinggi (RM8,714) diikuti Petaling (RM7,904) dan Gombak (RM5,409).

 

Beliau berkata kebanyakan mereka di Sepang bekerja di tempat lain tetapi membeli rumah di lokasi itu, contohnya yang membeli rumah di Sepang bekerja di Putrajaya dan atas sebab itu, pendapatan isi rumah penengah tinggi berbanding daerah lain.