13
Rab, Dis
893 ARTIKEL BARU

Cukai Bukan Kerajaan Rompak Duit Rakyat – Pakar Ekonomi

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR – Sistem percukaian tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan kerajaan merompak duit rakyat.

Sebaliknya menurut Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Nor Azlan Ghazali, hasil daripada kutipan cukai sebenarnya digunakan oleh kerajaan untuk membekalkan sistem perkhidmatan awam yang baik kepada orang ramai.

Justeru katanya, dalam konteks pelaksanan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), orang ramai tidak seharusnya melihat ia dari sudut yang buruk.

“Sistem percukaian Malaysia hari ini, cuma sekitar dua juta orang sahaja yang membayar cukai pendapatan. Kita kena faham kerajaan bukan berniaga, sumber pendapatan kerajaan untuk mentadbir negara sebahagian besar adalah daripada pungutan cukai pendapatan.

“Daripada jumlah cukai yang dipungut ini, inilah dana yang diguna pakai untuk menyediakan perkhidmatan awam. Jadi kerajaan bertanggungjawab nak pastikan perkara yang kita katakan sebagai perkhidmatan awam,” katanya yang juga seorang pakar ekonomi.

Namun begitu ujar Nor Azlan, ekonomi negara yang semakin kompleks ketika ini secara tidak langsung telah mengakibatkan kos untuk perkhidmatan awam turut meningkat.

Sekaligus katanya pungutan cukai pendapatan sahaja tidak lagi boleh dijadikan sandaran utama kerajaan.

“Jadi kalau dua juta yang bayar cukai, bayangkan manfaat yang nak dikecapi untuk 31 juta orang. Jadi apabila ekonomi negara sudah menjadi lebih kompleks, kos untuk perkhidmatan awam pun meningkat. 

“Kerajaan perlu memastikan bahawa perbelanjaan untuk perkhidmatan awam ini dapat dikekalkan. Jadi pungutan cukai pendapatan yang dua juta itu tidak lagi boleh menjadi sandaran utama.

“Jadi kita kena berlaku adil. Kita tidak boleh tafsirkan cukai itu macam kerajaan rompak duit kita. Sebab apabila kita lalu jalan waktu malam, lampu yang terang sebenarnya itulah manfaatnya. Bila kita tengok jenayah berkurangan ataupun keadaan alam sekitar yang cantik, pantai yang bersih, itulah antara manfaatnya.

“Jadi bererti cukai ini jangan sesekali kita anggap sebagai kerajaan merompak duit kita. Sebaliknya apabila kerajaan ambil (cukai), ianya disalurkan semula dalam bentuk perkhidmatan awam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama wartawan KLXPRESS di pejabatnya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Azlan menjelaskan bahawa GST adalah satu kaedah pungutan cukai yang bersandarkan kepada perbelanjaan.

“Dengan cara GST ini, janganlah kita terus nampak buruk..tak betul. Pertamanya ia adalah satu kaedah pungutan cukai yang bersandarkan kepada penggunaan.

“Bila kita berbelanja bererti sebenarnya (secara tidak langsung) kita isytihar kita punya pendapatan. (Contohnya) Bila orang itu masuk hotel lima bintang, mungkinkah dia orang miskin? Tak mungkin. Ini secara umumnya. Kalau orang itu naik kereta BMW, mungkinkah orang itu miskin? Dia tak miskin. Ini secara umum, perbelanjaan kita ini membayangkan pendapatan kita.

“Sebahagian besar dalam konteks penggunaan perbelanjaan, apa yang kita belanjakan membayangkan pendapatan kita.

“(Jadi) GST ini dia pungutan cukai dibuat berdasarkan kepada perbelanjaan. Umumnya GST ini supaya tanggungjawab membayar cukai itu disebarkan. Jadi bererti hari ini semua 31 juta rakyat yang berbelanja juga bertanggungjawab untuk menyumbang kepada cukai.

“Dan pastinya cukai ini digunakan untuk perkhidmatan awam,” katanya.