17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Siapa Kata Negara Nak Bankrap? - Pakar Ekonomi

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini dinasihatkan supaya tidak mudah untuk membuat kesimpulan kononnya Malaysia bakal bankrap kerana berhutang.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Nor Azlan Ghazali, hakikatnya adalah situasi ekonomi Malaysia ketika ini berada dalam keadaan stabil sepertimana yang diperakui oleh agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa iaitu Standard & Poor, Moody dan Fitch Ratings.

Bahkan katanya, keadaan negara ketika ini sebenarnya jauh lebih baik berbanding pada tahun 1980an dan awal 1990an.

“Ramai yang tak tahu sebenarnya di tahun 1980an, awal 1990an, Malaysia berhutang lagi banyak. Hutang ini sebenarnya dilihat kepada dua perkara yang penting iaitu pertama sebab apa Malaysia berhutang. Nombor dua adakah Malaysia mampu bayar balik dan berdisiplin dalam membayar balik hutang.

“Saya meneliti dalam konteks hutang negara ini, kalau kita tengok sejarah Malaysia ini setiap kali kita ada defisit adalah bila kita berhadapan dengan kejutan ekonomi antarabangsa. Kalau kita ambil contoh tahun 2006, 2009, defisit melebar sebab berlaku kenaikan harga minyak. Dan kemudian defisit menurun. Sekarang ini sebenarnya trend defisit kita menurun. Tiada masalah. 

“Institusi-institusi penarafan kredit antarabangsa masih mengekalkan Malaysia pada tahap stabil kerana kita mampu untuk membayar hutang. Bererti kemampuan Malaysia untuk membayar semula hutang diperakui dengan penarafan oleh agensi-agensi antarabangsa.

“Jadi kita jangan dengan mudah nak simpulkan negara ini nak bankrap,” katanya kepada KLXPRESS.

Menurut beliau yang juga seorang pakar ekonomi, sekiranya Malaysia benar-benar akan bankrap, tidak mungkin pelabur-pelabur asing akan terus melabur. 

“(Kalau) Negara nak bankrap dia macam orang sakit. Kita boleh nampak kalau dia makin sakit. Macam mana pertumbuhan ekonomi boleh 5.8%, macam mana pelabur-pelabur asing masih terus melabur di Malaysia (jika benar Malaysia nak bankrap),” katanya.

Bahkan katanya, Malaysia juga berada dalam kedudukan yang membanggakan dalam penarafan daya saing dunia.

“Dalam penarafan daya saing, Malaysia berlegar di sekitar nombor 18, 19, 20, 23 di dunia. Untuk sebuah negara seperti Malaysia untuk berada dalam lingkungan tersebut, maksudnya negara ini mempunyai daya saing yang kuat, ditadbir dengan baik, mempunyai infrastruktur yang baik untuk pembangunan.

“Macam mana ada orang boleh kata negara ini nak bankrap?” soalnya.