23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

Hutang Luar Malaysia Berkurangan Kepada RM873.8b

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Hutang luar Malaysia berkurangan kepada RM873.8 bilion, bersamaan US$204.7 bilion, atau 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada akhir September 2017, berbanding RM877.5 bilion yang dicatatkan pada akhir Jun 2017.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata,  hutang luar yang lebih rendah itu sebahagian besarnya mencerminkan pembayaran balik peminjaman  antara bank yang cukup tempoh, dan kesan penilaian berikutan pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dan serantau terpilih pada suku ketiga.

“Ini lebih daripada mengimbangi kenaikan ini, terutama dalam pemegangan sekuriti dan deposit hutang bukan pemastautin (NR), serta liabiliti hutang lain. Hutang luar Malaysia kekal terurus dari segi profil kematangan, serta tempoh matang  dan tersedianya aset luaran yang besar.

"Lebih satu pertiga daripada jumlah hutang luar negeri didominasi dalam ringgit (34 peratus), terutama dalam bentuk pemegangan sekuriti hutang domestik dan deposit ringgit di institusi perbankan domestik.

“Oleh itu, liabiliti ini tidak tertakluk kepada perubahan penilaian yang berpunca dripada turun naik kadar pertukaran ringgit," katanya.

Bank pusat berkata, baki hutang luar negeri berjumlah RM577.0 bilion atau 66 peratus adalah dalam mata wang asing (FC) dan kebanyakannya merupakan hutang institusi perbankan dan korporat, yang berjumlah 97.1 peratus daripada jumlah pinjaman FC.

Hutang ini menurutnya, tertakluk kepada amalan pengurusan mudah tunai berhemat dan perlu dilindung nilai.

"Sebahagian besar  obligasi hutang ini terdiri daripada pinjaman luar pesisir, terutama untuk mengembangkan kapasiti produktiviti dan mengurus sumber kewangan dalam kumpulan syarikat," katanya.

Pada akhir September 2017, BNM berkata, peminjaman luar pesisir kekal rendah pada 36.8 peratus daripada KDNK berbanding 60 peratus daripada KDNK semasa Krisis Kewangan Asia.

Jelasnya, daripada jumlah hutang luar negeri dalam mata wang FC, termasuk kesan penilaian, ia berkata lebih daripada satu pertiga atau berjumlah RM204.7 bilion merupakan peminjaman antara bank dan deposit FC dalam sistem perbankan domestik.

"Ini sebahagian besarnya mencerminkan pengurusan mudah tunai antara kumpulan  bank dan penempatan deposit daripada entiti induk asing  tertakluk kepada amalan pengurusan mudah tunai berhemat, antaranya had dalaman bagi pendanaan dan ketidakpadanan tempoh matang.

Ini diikuti  bon dan nota jangka panjang yang ditebitkan di luar pesisir berjumlah RM161.6 bilion pada akhir September 2017, terutama untuk membiayai pemerolehan aset di luar negara untuk menjana pendapatan akan depan," katanya.

Sementara itu, ia berkata, pinjaman antara syarikat biasanya tertakluk kepada terma yang fleksibel dan kadar faedah yang lebih rendah.

Dari perspektif tempoh matang, BNM berkata, lebih separuh daripada jumlah hutang luar negeri menjurus kepada tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang  mewakili 56 peratus daripada jumlah hutang luar negara dan menyarankan risiko pembiayaan semula yang terhad.

Bank pusat berkata liberalisasi terhadap peraturan pentadbiran pertukaran asing secara berpringkat-peringkat menyebabkan desentralisasi rizab antarabangsa yang lebih ketara seperti peningkatan pemerolehan aset di luar negara oleh bank dan syarikat pemastautin.

Secara khususnya, bank dan syarikat memegang kira-kira tiga suku daripada aset luar Malaysia, berjumlah RM1.3 trilion pada akhir suku ketiga 2017, yang boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang luar negara RM664.5 bilion, tanpa membuat tuntutan ke atas rizab antarabangsa.

Setakat 31 Oktober 2017, rizab antarabangsa ialah 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek dan mencukupi untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh. - BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.