17
Jum, Ogs
56 ARTIKEL BARU

Kenanga Kekalkan Unjuran Optimis Terhadap Ekonomi Malaysia 2018

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga Investment) hari ini mengekalkan unjuran optimisnya terhadap ekonomi Malaysia bagi 2018, walaupun pada masa sama melihat pasaran masih berdepan risiko yang boleh mempengaruhi momentum kenaikan eksport.

"Kami mengenal pasti beberapa risiko penyusutan pertumbuhan eksport seperti kesan asas yang tinggi, peningkatan ringgit, pergerakan harga minyak mentah yang menurun dan kelemahan permintaan dari China akibat kredit yang lebih ketat.

"Faktor lain seperti ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar monetari di negara-negara ekonomi utama. Bagaimanapun, kami masih percaya kemungkinan aliran pertumbuhan yang lebih perlahan itu adalah pada tahap paling sederhana," kata bank pelaburan itu.

Kenanga Investment berkata penilaian awalnya bagi pertumbuhan jumlah eksport bagi tahun ini dijangkakan menyederhana kepada 7.0 peratus sehingga 10.0 peratus dengan sokongan dagangan positif perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sama seperti pandangan sebelum ini, kami melihat kekukuhan momentum pertumbuhan perdagangan Malaysia kekal stabil biar pun risiko masih ada untuk 2018. Ini disokong oleh (faktor seperti) ekonomi global lebih kukuh, peningkatan harga minyak dan permintaan semikonduktor global untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.

"Kami juga menyasarkan permintaan domestik yang turut mendapat manfaat daripada kesan prestasi eksport pada tahun lepas, akan terus menyokong pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini.

"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran KDNK pada 5.1 peratus bagi 2018 (2017: 5.8 peratus) yang seiring dengan potensi aliran peningkatannya," katanya.

Kenanga Investment juga menjangkakan aliran perdagangan bagi suku keempat 2017 (4Q17) berkemungkinan mencatat penurunan.

Namun, walaupun momentum pertumbuhan dagangan itu menguncup bagi dua bulan pertama suku keempat 2017, ia kekal stabil dan mencatat perkembangan dua angka.

Bank pelaburan itu menyasarkan pertumbuhan eksport di paras lebih sederhana pada Disember, sejajar aliran permintaan semikonduktor global dengan jumlah eksport berkurangan pada suku keempat 2017.

"Kami mengekalkan unjuran eksport kasar bagi tahun penuh 2017 sebanyak 21.6 peratus (2016:1.2 peratus) dengan mengambil kira pertumbuhan yang baik setakat ini iaitu 20.4 peratus," katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank berkata petunjuk utama global terus cenderung kepada pemulihan ekonomi dunia dan menyasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mantap selepas ini.

"Kami mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia akan melaksanakan kenaikan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas seawal Januari 2018.

 

Faktor seperti risiko tempoh kadar faedah sebenar negatif yang berpanjangan di tengah-tengah ketidakseimbangan hartanah juga akan mempengaruhi keputusan bank pusat berkenaan," katanya. -- BERNAMA