20
Sel, Feb
724 ARTIKEL BARU

Ringgit Dijangka Terus Kukuh Berbanding Dolar AS

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar US minggu depan, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi, terutamanya minyak mentah selain sentimen serantau yang positif.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata harga minyak terus meningkat berikutan laporan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran masing-masing.

“Kami mengunjurkan ringgit akan dipengaruhi oleh kenaikan harga minyak. Selagi harga minyak tinggi (prestasi) ringgit juga akan kekal pada paras semasa," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Nazri Khan berkata, program Invest Malaysia 2018 yang menghimpunkan seramai 2,000 peserta adalah platform yang berkesan dan boleh dijadikan pemangkin bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam Malaysia.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes menyasarkan ringgit akan mengekalkan peningkatan secara konsisten berikutan pertumbuhan global yang kukuh.

“Kami menjangkakan ringgit menguji paras 3.85 berbanding dolar jika dolar US kembali lemah pada awal minggu depan.

"Secara keseluruhannya, minggu ini berpihak kepada pasaran modal Malaysia apabila ringgit dijangka terus mencatat pengukuhan lebih ketara," katanya.

Pada minggu ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada Khamis bagi memastikannya di paras wajar dengan ekonomi negara yang berada pada landasan pertumbuhan menggalakkan.

Kali terakhir BNM melakukan pelarasan OPR pada Julai 2016 apabila ia mengurangkan 25 mata asas.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup pada paras 3.8690/8720 berbanding dolar – tahap yang tertinggi pernah dicatatkan pada April 2016, daripada 3.9360/9400 pada minggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit bagaimanapun didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9607/9648 daripada 2.9820/9869 pada minggu sebelum ini serta mengukuh berbanding yen kepada 3.5456/5490 daripada 3.5572/5617, minggu lepas.

Unit tempatan itu juga naik berbanding euro kepada 4.8185/8234 daripada 4.8322/8387 pada Jumaat lepas namun susut berbanding pound Britain kepada 5.5160/5222 daripada 5.4742/4801, minggu lepas.

 

BERNAMA