20
Sel, Feb
724 ARTIKEL BARU

ETP Wujudkan 2.26 Juta Peluang Pekerjaan Sejak 2010 – Rahman Dahlan

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2.26 juta pekerjaan wujud dalam tempoh enam tahun sejak 2010, hasil pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Jelas beliau, sebanyak 679,300 daripada jumlah itu terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi dengan sektor perkhidmatan mencatatkan 1.78 juta peluang pekerjaan sejajar dengan sumbangan sektor itu kepada 54 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dengan penciptaan pekerjaan yang kukuh, Malaysia berjaya mengekalkan kadar guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran kekal rendah pada tiga ke 3.5 peratus.Penciptaan pekerjaan di Malaysia seiring dengan prestasi ekonomi negara yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, pada masa sama kerajaan juga melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan universiti dan belia.

Beliau berkata, sejak 2011 kerajaan memperkenalkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang membantu 130,000 graduan universiti untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan dan hasilnya lebih 90 peratus pelatih SL1M sudah mendapat pekerjaan.

"Di bawah TalentCorp, ada juga program seperti Graduate-Career Accelerated Program (GCAP), program latihan enam minggu yang bertujuan untuk mentransformasi graduan kepada eksekutif berprestasi tinggi untuk industri perkhidmatan.

"Graduate Employability Management Scheme (GEMS) pula bertujuan menyediakan graduan universiti yang tidak mempunyai pekerjaan dengan kemahiran industri yang relevan dan pengalaman melalui kaedah penempatan dan latihan," katanya.

Selain daripada program peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran, terdapat juga geran untuk program, dana kajian dan pengkomersilan, dana pelaburan permulaan untuk perniagaan baru serta dana khas untuk belia Malaysia yang memilih untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Tabung Usahawan Belia adalah tabung yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui SME Bank. Dengan kadar faedah yang rendah, SME Bank menyediakan peluang pembiayaan setinggi RM100,000 dan Tabung Usahawan Siswazah menyediakan skim pinjaman mudah ditujukan kepada graduan," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia kukuh dan stabil untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia kerana pertumbuhan ekonomi yang kukuh tidak bermakna sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.

 

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) akan terus menyediakan penyelesaian dan mencari peluang untuk memastikan lebih banyak rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan dan dalam masa yang sama menyediakan bakat bertaraf dunia," katanya.