16
Jum, Nov
46 ARTIKEL BARU

Peraturan Baharu Bebas Cukai Berjaya Bendung Ketirisan - Othman

Ekonomi
Typography

LANGKAWI - Peraturan baharu penjualan barangan bebas cukai yang telah dilaksanakan lebih dua tahun lepas di pulau peranginan ini telah berjaya mencapai objektifnya untuk membendung ketirisan pendapatan negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz.

Katanya pelaksanaan peraturan baharu yang melibatkan perlesenan kedai bebas cukai (KBC) bagi penjualan rokok dan minuman keras itu tidak seharusnya menjadi isu lagi khususnya dalam keadaan pilihan raya umum sekarang.

"Ia (peraturan baharu itu) sudah difahami dan tidak (perlu) lagi diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk memanipulasikan isu itu (untuk mengelirukan rakyat), " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Kastam ASEAN di sini, hari ini.

Beliau mengakui pelaksanaan peraturan baharu itu berdepan beberapa masalah kecil pada peringkat permulaannya namun telah berjaya diatasi menerusi maklum balas dan pelarasan yang dibuat oleh kerajaan melalui Jabatan Kastam.

"Memang ada peningkatan kutipan cukai (berikutan pelaksanaan peraturan ini) dan memang ada kesan positif secara umumnya dalam mengawal ketirisan hasil dengan lebih berkesan, mengurangkan kes penyeludupan, penipuan pengisytiharan dan sebagainya, " katanya.

Semasa berucap merasmikan mesyuarat tahunan itu, Othman berkata perkhidmatan kastam negara-negara ASEAN perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang sedang berlaku sekarang.

Menurutnya kemajuan teknologi yang dibawa arus IR 4.0 bakal merubah cara hidup, kaedah bekerja dan perhubungan di antara satu pihak dan pihak yang lain.

"Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), yang berkembang pesat menerusi revolusi digital mempunyai potensi untuk meningkatkan tahap pendapatan dan taraf hidup penduduk, khususnya di rantau ASEAN, " katanya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk ASEAN mengambil peluang dan memanfaatkan IR 4.0 untuk mencapai objektif dan nilai yang dikongsikan mereka selama ini.

"Kelangsungan sistem kerajaan dan pihak berkuasa akan bergantung pada keupayaan mereka untuk menyesuaikan dengan tahap ketelusan dan kecekapan yang akan membolehkan mereka untuk kekal bersaing, " katanya.