23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

Sarawak Masih Mencari Rentak Permainan Selepas Tewas Menentang Sabah

Sukan
Typography

KUCHING - Sarawak masih mencari rentak permainan dalam permainannya selepas tewas kepada pasukan Sabah dalam aksi persahabatan di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam tadi.

Sarawak yang membariskan 90 peratus pemain yang terdiri daripada anak tempatan Sarawak gagal menyekat kehebatan Sabah yang menguasai sebahagian besar perlawanan.

Keputusan membariskan majoriti pemain tempatan jelas memakan diri apabila Sarawak gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri selepas kalah kepada Sabah dengan jaringan 1-0.

Ini diakui Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop yang memberitahu permainan Sabah jelas lebih baik daripada Sarawak pada separuh masa pertama.

"Pada separuh masa pertama, Sabah menguasai permainan dengan melancarkan serangan bertubi-tubi sehingga memperoleh jaringan gol menerusi Rawilson Batuil.

"Bagaimanapun, Sarawak berjaya memperkemaskan permainan pada separuh masa kedua dan berjaya menyaingi Sabah untuk memberikan aksi terbaik namun tidak bernasib baik untuk memperoleh gol.

"Sarawak berpeluang memperoleh gol menerusi sepakan penalti selepas pemain Sarawak dijatuhkan di dalam kotak penalti, tetapi peluang tersebut gagal disempurnakan pemain Mark Andrew Hartmann," katanya ketika diminta mengulas mengenai perlawanan persahabatan menentang Sabah.

Sementara itu, aksi sulung Sarawak di Stadium Negeri telah berjaya menarik kira-kira 2,000 penyokong setia Ngap Sayot biarpun ia sekadar perlawanan persahabatan dan turut disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais bersama barisan exco FAS yang baharu.

David turut berkata aksi malam tadi merupakan medan untuk menilai empat pemain import yang kini sedang bersaing bagi mengisi dua slot kosong bagi posisi penyerang dan pertahanan.

Mereka ialah Kim Seong Hyeon (Korea Selatan/pertahanan), Mohamed Telaat (Mesir/penyerang), Zhivko Dinev (Bulgaria/pertahanan) dan terbaharu Mamadou Diallo Lamarana (Guinea/penyerang).

Masih banyak yang perlu dilakukan David dalam usaha memperkemaskan lagi pasukan Sarawak sekali gus mampu memberikan saingan dalam Liga Super 2017 yang akan bermula 20 Januari ini.

David menjelaskan, apa yang pasti senarai lengkap pemain-pemain pasukan Sarawak bagi musim 2017 akan diketahui dalam minggu ini.