24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

Speedy Tigers Menang Mudah 18-1 Ke Atas Indonesia

Sukan
Typography

KUALA LUMPUR - The Speedy Tigers bermula garang dalam aksi pertama pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 selepas menang mudah 18-1 ke atas Indonesia, malam ini.

Pasukan di ranking ke-12 dunia itu membuka jaringan seawal minit pertama melalui Faizal Saari, sebelum gol kedua dan ketiga dijaring setiap dua minit kemudiannya masing-masing oleh Fitri Saari dan Razie Rahim.

Pasukan negara terus membolosi gawang Indonesia untuk berada dalam keadaan selesa di hadapan dengan sembilan jaringan sebelum menamatkan separuh masa pertama.

Indonesia bagaimanapun berjaya menembusi pertahanan Malaysia dan menjaringkan gol sebaik bermula babak kedua menerusi gol padang oleh Abdullah Al Akbar pada minit ke-34.

Anak didik Stephen Van Huizen bagaimanapun terus melipatgandakan serangan sebelum menamatkan perlawanan pertama mereka dengan jaringan 18 berbalas satu.

Terdahulu, dalam satu perlawanan berlainan pasukan wanita negara turut memperoleh tiga mata mudah selepas menundukkan Singapura 5-0.

Dalam satu lagi perlawanan hoki padang lelaki menyaksikan Singapura terikat dengan Myanmar 2-2.

 

- BERNAMA