24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

KL2017: Malaysia Sedia Berjuang Bermati-matian Berdepan Thailand

Sukan
Typography

SHAH ALAM - Skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara sudah bersedia untuk berjuang bermatian-matian apabila turun menentang Thailand pada perlawanan akhir acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Selasa ini.

Ketua pasukan Muhammad Adib Zainudin berkata tahap motivasi semua rakan sepasukannya kini berada di tahap tertinggi menjelang pertembungan dramatik yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam itu.

Katanya, kekalahan 0-3 kepada negara jiran di pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di Bangkok bulan lepas tidak boleh dijadikan ukuran kerana KL2017 menyaksikan Malaysia selaku pasukan tuan rumah.

"Ketika ini semua rakan-rakan saya berada dalam keadaan baik...emosi dan semangat mereka sangat luar biasa dan saya harap ia akan dikekalkan sehingga ke wisel penamat pada perlawanan nanti.

Kami pernah tewas di tangan Thailand di Bangkok tempoh hari tetapi ia mungkin disebabkan faktor tuan rumah memberi sedikit kelebihan kepada mereka. Di KL2017, giliran kami menjadi tuan rumah dan sudah tentu kami ingin membalas dendam," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menuntut rakan sepasukan supaya tetap berwaspada terhadap ancaman Thailand yang dilihat sedikit goyah pada permulaan kempen KL2017, namun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah untuk sampai ke pentas akhir.

"Kami telah pergi sejauh ini dan ini adalah saat yang terbaik untuk Malaysia menjadi juara. Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat berjuang sehabis baik di final itu nanti.

Thailand adalah sebuah pasukan yang hebat di Asia Tenggara. Menewaskan mereka merupakan satu impian setiap negara yang bertanding di Sukan SEA," kata pemain Felcra FC itu.

Dalam pada itu, penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli bertekad mengekalkan aksi terbaik untuk mempertahankan gawang negara daripada dibolosi jentera serangan negara 'Gajah Putih' itu nanti.

"Saya akan buat sehabis baik untuk kekal fokus pada perlawanan akhir nanti bagi memastikan Malaysia berjaya menepati sasaran iaitu merangkul pingat emas," katanya.

Malaysia mara ke final selepas menundukkan Indonesia 1-0 di perlawanan separuh akhir manakala juara bertahan Thailand menundukkan Myanmar juga 1-0 untuk ke pertandingan akhir.

 

- BERNAMA

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.