25
Isn, Sep
685 ARTIKEL BARU

Azizulhasni Kutip Emas Ke-111 Malaysia

Sukan
Typography

JUARA dunia keirin, Azizulhasni Awang, atau lebih dikenali dengan jolokan "The Pocket Rocketman" menepati ramalan selepas berjaya mengungguli acara pecut individu lelaki untuk meraih pingat emas di Velodrom Nasional, sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan itu menjadi emas yang ke-111 berjaya dikutip oleh kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menepati sasaran yang ditetapkan dalam mengejar penghormatan sebagai juara keseluruhan.

Azizulhasni menewaskan rakan senegara, Shah Firdaus Sahrom, dalam kedua-dua pusingan untuk mengakhiri perlumbaan di tempat pertama.

Tempat ketiga menjadi milik Jaturong Niwanti dari Thailand yang menumbangkan cabaran pelumba Indonesia, Puguh Admadi, dalam perebutan gangsa.

Dalam aksi sebelum itu, Fatehah Mustapa mengesahkan status sebagai ratu pecut individu wanita setelah terlebih dahulu menumbangkan cabaran rakan sepasukan, Farina Shawati Adnan.

Fatehah memenangi dua perlumbaannya dengan Farina, sekaligus menghadiahkan emas ke-110 buat negara.

Namun, kedua-dua Fatehah dan Azizulhasni menimbulkan cemas seketika apabila terjatuh sejurus dilepaskan untuk perlumbaan kedua mereka hingga memaksa perlumbaan dimulakan semula.

"Untuk menang pingat emas Sukan SEA di hadapan penonton di halaman sendiri, di depan isteri dan anak-anak saya, apatah lagi ia adalah pingat emas ke-111 negara, adalah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan.

"Saya mahu menang emas keirin esok untuk menambah jumlah kutipan pingat emas negara," kata Azizulhasni yang mengumumkan Sukan SEA kali ini adalah yang terakhir buatnya.

 

Kredit: Stadium Astro