20
Sel, Feb
724 ARTIKEL BARU

SPRM Ambil Keterangan Pemain Bola Sepak Kedah

Sukan
Typography

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil pemain yang dituduh menerima rasuah sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia minggu lalu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata KFA akan sentiasa memberikan kerjasama dengan SPRM yang disifatkan mempunyai hak untuk menjalankan siasatan terhadap pemain meskipun dakwaan itu hanya dibuat melalui laman sosial.

“Saya dimaklumkan SPRM ada panggil pemain…mungkin ia hanya prosedur dan SPRM ada hak nak panggil mereka.

“Depapun (pemain) akan beri kerjasama yang baik terhadap SPRM namun kita tak tuduhpun mereka buat, ” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kelab Ahmad Bashah, di sini.

Sebelum ini, di laman media sosial, seorang individu membuat komen dengan tajuk ‘calon jual game Final Piala Malaysia 2017’ dan tertera tujuh nama membabitkan pemain dan jurulatih Kedah.

Susulan itu, Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff membuat laporan polis berhubung kenyataan yang tular di media sosial itu.

Pada masa sama, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar, berkata siasatan itu penting bagi memastikan nama pemain dan jurulatih pasukan Kedah bersih daripada dakwaan terbabit.

Ini kerana katanya beliau tidak mahu keyakinan penyokong terhadap skuad Helang Merah luntur akibat dakwaan berkenaan.

“Kalau penyokong hilang keyakinan, pemain dan pasukan kita yang rugi nanti..jadi saya tidak mahu adanya tanggapan negatif ini.

“Namun KFA tidak akan mengambil tindakan terhadap pemain dan jurulatih yang dikaitkan itu selagi tidak dibuktikan mereka bersalah, ” katanya.