18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

MotoGP pahat nama negara di mata dunia - Dr M

Sukan
Typography

Acara sukan permotoran tertua negara, Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 kini bukan lagi hanya sekadar acara pertunjukan sahaja, tetapi telah berubah menjadi platform terbaik buat Malaysia untuk bersaing dengan jaguh terbaik dunia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sebagai acara antarabangsa paling lama di Malaysia sejak 1991 lagi, Grand Prix Motosikal Malaysia terus memahat nama negara di peta dunia. Selepas saya diberi penghormatan merasmikan litar ini pada 1999 dan kembali ke sini lagi kini, saya lihat Litar Antarabangsa Sepang bukan lagi hanya satu fasiliti untuk menjadi gelanggang lumba dan acara semata-mata.

“Selepas beberapa tahun berlalu, ia berubah menjadi pusat untuk membangunkan kemahiran, membina infrastruktur di samping memupuk pemindahan teknologi dan pengetahuan dalam bidang sukan lumba motor,” kata beliau yang dipetik dari buku program rasmi 2018 Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix.

Beliau mengakui bahawa segala usaha yang dijalankan sehingga kini, adalah bagi merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Litar Antarabangsa Sepang sebagai hub aktiviti sukan permotoran di rantau ini dan sebagai pemangkin kepada industri sukan permotoran negara.

Sejak 9 Mac1999, iaitu semasa Litar Antarabangsa Sepang dibuka dengan rasminya, ia membawa kemegahan kepada sukan permotoran di Malaysia dan menjadi litar utama apabila menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara berprestij termasuk Formula One dan MotoGP.

"Tahun lepas kita mengucapkan selamat tinggal kepada Formula One Grand Prix, tapi kita amat gembira melihat Grand Prix Motosikal Malaysia kekal sebagai acara gemilang buat Malaysia," katanya.

Susulan kejayaan memecahkan rekod kehadiran penonton, menjangkau lebih 166,000 menyaksikan acara tiga hari itu tahun lepas, Perdana Menteri berharap untuk melihat sekali lagi jumlah kehadiran penonton yang besar.

Dr Mahathir berkata kerajaan Malaysia akan terus menyokong Grand Prix Motosikal Malaysia.

"Kita melihat penyertaan pelumba pertama negara Hafizh Syahrin dalam kelas MotoGP kali ini, dan dengan kemunculan sulung pasukan Malaysia dalam MotoGP, kita melihat sudah ada petanda awal yang positif sukan ini akan kekal relevan dan terus berkembang maju di Malaysia,” katanya.

Edisi ke-27 Grand Prix Motosikal Malaysia bermula esok di Litar Antarabangsa Sepang.

- Bernama