21
Kha, Jun
80 ARTIKEL BARU

Khalid Samad Disiasat Bawah Akta Hasutan - Ketua Polis

Krisis MB Selangor
Typography
7.11 Kerana mulut badan binasa, ramai yang ingat macam mana celuparnya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempertikaikan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) 16 Jun lalu. Pada Selasa, Sultan Selangor bertitah beliau kecewa dengan kenyataan Khalid itu dan ramai yang menafsir titah sultan itu sebagai 'tuanku murka'. Berikutan itu juga MP Shah Alam yang terkenal dengan kelancangan mulutnya itu juga bakal dipanggil polis dalam masa terdekat. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, wakil rakyat PAS itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan mencadangkan kuasa eksekutif pihak berkuasa agama itu ditarik balik. “Ya benar, kami sedang menyiasat perkara itu, dan akan memanggil beliau bila-bila masa,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 5 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara Telekom Malaysia (TM). Pada Khamis, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara sinis menganggap Khalid  sebagai seorang pemimpin yang tidak memahami adab dan tatatertib untuk mengemukakan sesuatu cadangan berkaitan pentadbiran kerajaan negeri. Beliau berkata, Khalid sepatutnya tahu cara untuk mengemukakan cadangan atau pandangan mengenai sesuatu perkara kepada kerajaan negeri mengikut lunas undang-undang serta konsep pemerintahan beraja sedia ada. "Saya fikir, baik dalam soal memelihara ketenteraman atau kejayaan sesebuah pengurusan, kita bukan hanya perlu mematuhi lunas undang-undang semata-mata. Adab dan tatatertib juga perlulah diutamakan. "Mungkin kita merasakan idea, pandangan dan cadangan kita itu betul tetapi cara penyampaian atau penyalurannya haruslah dibuat dengan cara yang tertib dan terbaik supaya apa yang kita cadangkan itu dapat dilaksanakan sebaik-baiknya," katanya. Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menasihatkan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri termasuk ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen supaya bersikap matang selain mengambil kira kepentingan rakyat dalam membuat sebarang keputusan. "Dalam senario di Malaysia, kita ada monarki berperlembagaan dan kita kena ambil kira perkara itu," ujarnya. 15 Julai lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa amat kesal dan kecewa dengan Khalid Samad dalam titahnya semasa merasmikan Majis Pekan Sepang. Baginda menyifatkan tindakan Khalid mencadangkan supaya Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam. Titah baginda, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS seta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk. “Kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai ketua agama Islam di Selangor. “Khalid bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil langkah untuk melengkapkan diri memahami sejarah negeri Selangor,” titah baginda.