18
Jum, Jan
0 ARTIKEL BARU

Khalid Terus Diasak-Kedudukan Menteri Besar Makin Gawat

Krisis MB Selangor
Typography
safe_image Kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor belum menampakkan sebarang tanda akan reda sebaliknya perkembangan terkini menunjukkan keadaan yang semakin meruncing terutama sekali selepas tersebar khabar angin mendakwa Tan Sri Khalid Ibrahim akan melepaskan jawatannya pada pagi Isnin lepas. Berikutan mesej dan berita palsu yang yang bertebaran melalui aplikasi popular WhatsApp dan pesanan ringkas itu yang kononnya memetik ringkasan berita SMS oleh agensi Berita Nasional (Bernama), bukan hanya menyebabkan pemberita dan petugas media tertipu hidup-hidup tetapi juga menimbulkan kekalutan di kalangan penyokong MB Selangor.   Khalid yang menyedari keadaan itu sudah pun menafikan khabar angin berkenaan dan menolak sebarang kemungkinan akan meletakkan jawatan MB dalam masa terdekat. Kenyataan itu tentu sahaja melegakan ramai penyokongnya yang masih menaruh harapan ADUN Pelabuhan Klang itu akan terus menjadi MB Selangor sehingga penghujung penggal. Setakat ini tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu namun mudah untuk orang ramai meneka itu adalah sebahagian dari permainan politik dalaman PKR yang tentu sahaja bertujuan untuk mengasak dan menambah tekanan terhadap Khalid supaya segera melepaskan kedudukannya sebagai MB. Umum mengetahui sejak dua tiga minggu lalu pelbagai kenyataan terbuka telah disuarakan ramai pemimpin PKR, PAS dan DAP dengan kebanyakannya mengkritik dan mempertikaikan kewibawaan Khalid sebagai MB Selangor disertai gesaan supaya mengundur diri dari jawatan yang disandangnya itu. Mereka semakin lantang mengasak Khalid bila mengetahui MB Selangor itu gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor. Bagaikan kucing melihat ikan di depan mata pantas mereka menerkam mengganyang Khalid habis-habisan seolah-olah bagi mereka bila hilang jawatan Ketua Cabang maka wajib juga dilucutkan jawatan MB. Kebetulannya kebanyakan pemimpin politik yang tiba-tiba lantang itu mempunyai hubungan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Lantaran itu ramai penyokong Khalid percayai penyebaran khabar angin yang berniat jahat itu adalah lanjutan kepada siri gerakan oleh kem anti Khalid yang didalangi Azmin Ali bertujuan untuk mempercepatkan kejatuhan MB Selangor itu. Mereka juga yakin ia adalah tindak balas oleh penyokong Azmin yang berang dengan kempen propaganda oleh kem Khalid yang beberapa hari lepas telah menyebarkan berita kononnya MB Selangor itu telah mengatasi Azmin dan sedang mendahului persaingan Timbalan Presiden PKR dengan kelebihan 700 undi. Bagaimana pun awal-awal lagi Azmin Ali menafikan sebarang kaitan dengan isu khabar angin apabila mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak menghentikan sebarang spekulasi mengenai kedudukan Khalid sebagai MB Selangor sambil mengajak pimpinan dan ahli PKR bekerja dalam satu pasukan demi rakyat. Seruan yang bernada diplomasi Timbalan Presiden PKR itu bagaimana pun dipandang sinis oleh kebanyakan penyokong Khalid kerana mereka percaya ia hanya seumpama perbuatan baling batu sembunyi tangan atau lebih tepat lagi sekadar kenyataan cuci tangan untuk melepaskan diri dari dipersalahkan. Andaian tersebut ada benarnya lebih-lebih lagi bila diambil kira perang dingin Azmin vs Khalid yang sudah berlanjutan sekian lama dan Azmin pula dilihat sentiasa mencari peluang menjatuhkan musuh politiknya itu gara-gara keinginan peribadinya yang sekian lama mengidam untuk menikmati keempukan kerusi MB. Apa pun, perkembangan mutakhir ini ternampak jelas kedudukan Khalid kian gawat setelah berterusan diasak dan peluangnya untuk kekal sebagai MB Selangor juga semakin tergugat selepas keputusan rasmi terkini Pemilihan PKR 2014 menunjukkan peluang Khalid agak samar untuk merampas jawatan Timbalan Presiden dari Azmin.