26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

PKR hilang Selangor jika berdegil mahu Wan Azizah sebagai MB

Krisis MB Selangor
Typography
KUALA LUMPUR: Berdasarkan risikan KLXPress tiga orang ADUN Pakatan iaitu Azmin Ali, Iskandar Samad, Dr Yunus telah 'ditemuduga' oleh Tuanku Sultan semalam secara berasingan. Keputusan siapa yang bakal menjadi MB Selangor akan ditentukan dalam Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang akan berlangsung pada Ahad petang. Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Fud Mat Jali ketika dihubungi berpendapat, semua sudah sedia maklum bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju Presiden PKR itu menjadi Menteri Besar Selangor. “Jika PKR tetap inginkan Dr Wan Azizah mendapat jawatan itu, saya berpendapat Tuanku tidak akan teragak-agak untuk melantik wakil parti lain pula,” katanya. Pensyarah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata demikian kerana terdapat desas-desus yang menyatakan kemungkinan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang akan dilantik menggantikan tempat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu. Malah, terdapat khabar angin yang menyatakan ahli PKR sendiri akan mendesak Azmin Ali supaya meletakkan jawatan jika dilantik menjadi Menteri Besar bagi menghormati dan memberi laluan kepada Presiden parti memegang jawatan tersebut. “Saya rasa semua tahu jika ada di antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang memberi nama Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar, kemungkinan besar Sultan akan memilihnya berbanding Dr Wan Azizah. “Tetapi ada kemungkinan Tuanku akan melantik wakil dari PAS pula kerana Baginda berpendapat dengan melantik ahli dari PKR selain Dr Wan Azizah mungkin boleh menimbulkan ketegangan didalam parti sekaligus menjejaskan dinamik politik di Selangor,” jelas pensyarah itu. Sebelum ini juga, PAS telah membelakangi keputusan PKR dan DAP untuk menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor dengan memberikan sebanyak tiga nama kepada pihak Istana. Ketiga-tiga mereka adalah Dr Idris Ahmad (PKR – Ijok), Yaakob Sapari (PKR – Kota Anggerik) dan Iskandar Samad (PAS – Chempaka). Penganalisis politik dari UKM itu pula berpendapat jika Sultan Sharafuddin mula mempertimbangkan Pesuruhjaya PAS Selangor itu menjadi Menteri Besar, peluang untuk PKR memerintah di Selangor semakin tipis. “Peluang antara Azmin Ali dan Iskandar Samad adalah 50-50, terpulang kepada Sultan tetapi yang pasti bukan Dr Wan Azizah,” katanya. Oleh itu Dr Fuad berpendapat jika PKR masih mahu memerintah di Selangor, mereka harus menurut arahan Tuanku dalam memilih siapa bakal menjadi Menteri Besar. “Jika PKR masih lagi berdegil, mungkin PAS pula yang akan memerintah Selangor,” ujarnya. Sementara itu, Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada 7 September lalu memutuskan akan menolak kerusi itu jika ia diberikan kepada Adun mereka. Namun, Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang berlangsung di Batu Pahat, Johor panas dengan perbahasan mengenainya. Sebahagian besar perwakilan tidak mahu menolaknya manakala golongan yang setia dengan semangat setiakawan PR mahu ia ditolak.