21
Rab, Nov
46 ARTIKEL BARU

Perancangan Anwar Gagal, Azmin Sah MB Selangor Baharu

Krisis MB Selangor
Typography
azmin PETALING JAYA - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada Isnin malam mengesahkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 berkuat kuasa esok selepas Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang. Katanya, beliau telah menerima surat pelantikan itu setelah diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dipersetujui sebulat suara oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta rakan-rakan lain di dalam parti. "Saya bersyukur kepada Allah kerana petang tadi sekitar pukul 3 petang, saya telah menerima sepucuk surat pelantikan daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, yang memaklumkan bahawa Tuanku Sultan Selangor telah memperkenankan pelantikan saya sebagai Menteri Besar Selangor mulai 23 Sept 2014. "Dan dalam surat yang sama, saya telah dititahkan untuk menghadiri majlis mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pagi esok pukul 10 pagi di Istana Alam Shah, Klang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Biro Politik Tergempar di Ibu Pejabat PKR di sini. Azmin berkata, sejurus selepas menerima surat tersebut, beliau terus memaklumkan perkara itu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesyuarat tergempar tersebut diadakan pada 5 petang. Katanya, mesyuarat tergempar kemudian disusuli dengan pertemuan bersama kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PKR pada 5.30 petang. "Pertemuan dengan majlis pimpinan pusat diadakan pada 6.30 petang di sini. Saya berterima kasih kepada presiden parti dan kesemua rakan-rakan yang telah sebulat suara calonkan saya sebagai calon Menteri Besar Selangor," kata Azmin yang merupakan Adun Bukit Antarabangsa. Ditanya mengenai sebarang kenyataan daripada pihak Istana berhubung penolakan terhadap pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin berkata tiada sebarang kenyataan berhubung perkara itu dan memberitahu Dr Wan Azizah sendiri akan mengeluarkan kenyataan mengenainya-BERNAMA