24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

YB Mat Razi Turun Padang Jumpa Masyarakat Setempat

PRK Pengkalan Kubor
Typography
TUMPAT : Sehari selepas dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail tidak membuang masa untuk melaksanakan tanggungjawabnya apabila turun padang melawat masyarakat di kawasan itu hari ini. Biarpun keletihan jelas terpancar di raut wajahnya ekoran kerja keras berkempen sepanjang hampir dua minggu, Mat Razi tidak mahu berehat sebaliknya terus beramah mesra dengan penduduk sekitar dan berkunjung ke Pasar Kampung Geting di sini. Selain merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang menyokongnya, beliau turut menggunakan kesempatan tersebut untuk bertanya khabar dan mendengar permasalahan penduduk setempat. “Saya tidak mahu berehat, kerja akan dilakukan secara berterusan berjumpa dengan semua masyarakat setempat bagi merakamkan ucapan terima kasih selain mendalami permasalahan mereka,” katanya ketika ditemui selepas berkunjung ke Pasar Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini. Beliau berkata, misi utamanya sebagai wakil rakyat adalah untuk memastikan setiap permasalahan rakyat di kawasan itu diberi perhatian sewajarnya dan dapat diselesaikan. Mat Razi, 48, bekas penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu mengakui tugas baharunya itu amat berat, namun beliau akan berusaha sebaik mungkin menggalas kepercayaan yang diberikan kepadanya. “Sepanjang saya berkempen dari rumah ke rumah, ada sahaja masalah yang diberitahu kepada saya. Terutama berkaitan keperluan isi rumah dan bantuan untuk persekolahan anak-anak,” katanya. Ditanya mengenai perkara utama yang akan dilakukan untuk Pengkalan Kubor, Mat Razi berkata perkara itu perlu difikirkan secara bermusyawarah dengan kepimpinan dan penduduk setempat bagi mengenal pasti tindakan yang sewajarnya. Semalam, Mat Razi, diumumkan sebagai Adun Pengkalan Kubor selepas memperoleh 9,981 undi pada pilihan raya kecil (RPK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mendapat 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail (38 undi). Mat Razi yang juga Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat mempertahankan kerusi Barisan Nasional bagi DUN itu dengan memperoleh majoriti 2,635 undi, meningkat hampir 900 undi berbanding penyandang DUN itu Allahyarham Noor Zahidi Omar yang mendapat majoriti 1,736 undi pada pilihan raya umum ke-13. Sumber