23
Kha, Nov
923 ARTIKEL BARU

Awasi 'anai-anai' bangsa!

Ad Din
Typography
Addin Kisah kejatuhan sesebuah tamadun bermula dengan ‘wabak’ yang menjangkiti ‘tubuh’ tamadun tersebut. Serangan musuh dari luar, hanyalah ‘sentuhan terakhir’, ataupun ‘tumbukan pelengkap’ yang merebahkan sesebuah tamadun. Ia rebah bukan kerana tumbukan yang datang itu padu dan kuat. Tetapi, ia tumbang kerana tumbukan itu datang di saat ia sendiri hampir-hampir rebah kerana sudah begitu tenat dan nazak. Inilah kesimpulan dari pengamatan terhadap sejarah kejatuhan sesebuah tamadun manusia. Maka, tidak hairanlah bila al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali mengatakan, yang menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiah (750-1258M) pada tahun 1258M, bukannya tentera Monggol. Tetapi, yang menghancurkan pusat tamadun Islam itu ialah istana-istana yang subur dengan dosa dan kemungkaran. Demikian juga Kerajaan Islam Andalusia (756-1492M). Yang melenyapkannya bukan tentera Salib. Tetapi, yang menghancurkannya ialah kelompok umat Islam yang hidup bermewah-mewah dan bersenang lenang (lihat Dustur al-Wehdah al-Thaqafiyyah hlm.13). Bagi al-Ghazali, peruntuh sebenar kedua-dua pusat tamadun Islam zaman silam itu ialah ‘wabak’ kepincangan akhlak dan jati diri. Ia membarah dalam jiwa umat Islam di zaman itu. Dalam lain perkataan, peruntuhnya ialah umat Islam itu sendiri! Ubah persepsi Nyata sekali  keperluan dirombak persepsi sebahagian umat Islam terhadap sebab-sebab kejatuhan tamadun. Pandangan yang melihat serangan bersenjata dari luar sebagai satu-satunya ancaman kepada kelangsungan tamadun bangsa, mesti dihapuskan. Demikian juga pemikiran yang melihat satu-satunya jaminan bagi kesinambungan tamadun ialah persiapan rapi menghadapi ancaman musuh dari luar. Ia juga mesti dibasmi. Umat Islam perlu ‘dikejutkan’ bahawa asakan luaran hanyalah ‘siri terakhir’ kepada  kisah kejatuhan tamadun silam mereka yang beratus-ratus episod itu. Mereka perlu disedarkan bahawa ‘episod pertama’ kisah kejatuhan tamadun silam mereka bermula dari dalam. Apabila ia begitu tenat dan hampir tumbang, di saat itulah musuh mengambil peluang. Dengan hanya satu ‘tumbukan’, ia rebah dan hancur. Kesedaran akan hakikat ini akan melahirkan warga yang berwatak jaga dan peka. Iaitu jaga dan peka terhadap sebarang 'barah' dan anasir-anasir tidak sihat dalam negara dan masyarakat. Ia akan menjadikan kesejahteraan jiwa, akal dan rohani masyarakat dari segala ‘wabak perosak’, satu keutamaan di sisi setiap warganegara. Sejarah tidak pernah jemu merakamkan, jika dalaman ummah kuat dan sejahtera dari sebarang ‘wabak’ atau ‘penyakit’, serangan dari luar sukar memberi kesan-EDITORIAL
Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.