20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Memahami Kepentingan Hijrah Nabi SAW

Ad Din
Typography

Kepentingan peristiwa hijrah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dari Mekah ke Madinah, terserlah melalui tindakan Syaidina Umar r.a menjadikannya permulaan bagi takwim atau kalendar Islam.

Takwim Islam tidak dikira bermula daripada peristiwa kelahiran atau kewafatan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, perlantikan Baginda sebagai rasul, kemenangan tentera Islam dalam perang Badar atau peristiwa pembukaan kota Mekah.

Meskipun kesemua peristiwa ini penting, namun Syaidina Umar dan umat Islam di zamannya tetap menjadikan peristiwa hijrah sebagai permulaan bagi kalendar Islam.

Ini adalah salah satu mesej jelas akan kepentingan peristiwa ini dalam Islam.

Objektif Hijrah

Penghijrahan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bukan semata-mata kerana lari daripada penindasan kaum musyrikin Mekah.

Sebaliknya, hijrah Baginda merupakan satu usaha terancang bagi mengasaskan sebuah masyarakat baru, iaitu masyarakat Islam dan membina negara.

Inilah objektif utama penghijrahan Baginda dari Mekah ke Madinah. Penghijrahan ini membawa natijah yang bermakna apabila Baginda berjaya membina negara di Madinah dan membentuk masyarakat baru yang berteraskan wahyu.

Asas kepada kejayaan ini ialah usaha gigih Baginda mendidik dan membentuk umat Islam ketika di Mekah, yang kemudiannya menjadi asas dan tonggak kepada negara yang terbentuk di Madinah.

Justeru, dakwaan seorang penulis Kuwait bahawa Baginda gagal di Mekah, adalah dakwaan yang dangkal. Baginda tidak gagal di Mekah.

Ini kerana, ketika di Mekah selama 13 tahun, Baginda telah berjaya membina asas yang kuat bagi pembentukan negara di Madinah. Ketika di mekah, Baginda memang tidak membangunkan binaan, tetapi sebaliknya membina asas.

Dalam erti kata lain, era di Mekah ialah era pengasasan, iaitu mengasaskan tunjang dan tonggak bagi era selepas Mekah iaitu kader-kader yang berkualiti.

Tanpa pembinaan asas ini di Mekah, sudah tentu tidak berlaku hijrah dan tidak terbentuk Negara di Madinah. Konsep hijrah

Banyak pengajaran yang boleh disedut daripada peristiwa hijrah ini, antaranya ialah idea berkenaan perubahan. Perubahan tidak seharusnya dibataskan hanya kepada perubahan dalam bentuk fizikal iaitu berubah atau berpindah dari satu tempat kepada tempat yang lain.

Sebaliknya, konsep perubahan itu meliputi perubahan yang berbentuk maknawi. Ini difahami daripada hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri yang bermaksud, “orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”.

Kesimpulannya, perubahan daripada keterbebasan daripada peraturan syarak kepada beriltizam dengannya, juga termasuk dalam konsep hijrah. Demikian juga perubahan daripada sikap negatif kepada sikap positif juga terangkum dalam skop konsep hijrah yang luas.