20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Perlaksanaan Hudud, Apa Pandangan Qaradawi?

Ad Din
Typography

Sesiapa yang membaca tulisan-tulisan Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkenaan hukum hudud akan mendapati bahawa kupasan beliau berkenaan hudud boleh dikategorikan kepada dua peringkat berbeza.

Peringkat pertama boleh dinamakan sebagai 'peringkat iktiqad', iaitu kewajipan umat Islam menyakini kedudukan hukum hudud sebagai hukum yang datang dari Allah, hukum yang sempurna, adil dan wajib dilaksanakan.

Peringkat kedua perbahasan beliau tentang hudud pula boleh dinamakan sebagai 'peringkat kaedah perlaksanaan', iaitu bagaimana hukum hudud dilaksanakan dalam masyarakat atau negara.

Berhubung kaedah perlaksanaan hudud, Qaradawi dengan jelas menyatakan bahawa sebelum Nabi SAW melaksanakan hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam.

Kenyataan Qaradawi ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Perkara ini dinyatakan beliau dalam satu wawancara bersama al-Jazeera.net pada pada 10 Januari 2011.

Beliau berkata, “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang  yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.

Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam. Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.

Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu-EDITORIAL