30
Sel, Mei
733 ARTIKEL BARU

Bersih 5.0 Hanya Mahu `Seronok’

Editorial
Typography

`PROPA’ sahaja lebih. Kalau dilayan kerenah penganjur demonstrasi haram, Bersih untuk kali ke-5 ini, tak habis-habislah kerajaan kena `tempias’nya. Motif  ‘Bersih 5.0’ ini satu sahaja - mahu mencalar dan merosakkan imej kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa. Itu sahaja.

Kalau ditanya pada sesiapa pun, semua maklum `Bersih’ ini tidak kiralah dari `Bersih 1, 2, 3.0, 4.0 hinggalah 5.0’ , juak-juak di dalamnya memang sah mewakili suara pembangkang. Pendek kata `hantu’ pembangkanglah yang sekadar mahu `berseronok’.

Kerana itu sengaja ditambah titik 0 di hujungnya disebabkan juak-juak pembangkang ini seperti S.Ambiga dan Maria Chin Abdullah ini sudah teruja mahu `berseronok’ untuk  meneruskan sehingga ke `Bersih 6.0, 7.0…10.1, 10.2 seterusnya hingga ke 100.0’.

Rakyat Malaysia bukanlah mudah untuk diperdayakan dengan taktik Maria Chin dan `kroni-kroni’ pembangkanya.

Rakyat memerhatikan bagaimana  Bersih 5.0 yang kali ini muncul untuk `berseronok’ melihat :

1. Malaysia hiruk-pikuk dan huru-hara.

Ini seperti mana dialami Turki baru-baru ini yang dikejutkan dengan insiden rampasan kuasa. Bersih 5.0 tidak sabar-sabar lagi mahu menggulingkan kerajaan demokrasi sedia ada tanpa sempat-sempat lagi menunggu pilihan raya umum ke-14 yang tempohnya cuma tidak sampai dua tahun dari sekarang.

2. Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak senang duduk.

Setiap kali Bersih dianjurkan, kira-kira 15,000 anggota polis, majoritinya  orang Melayu  perlu bertugas dan bekerja. Sudahlah kes-kes jenayah dan penjagaan keamanan rakyat di  bawah tanggungjawab mereka, sekali lagi Bersih 5.0 terpaksa diharungi. Kerana Bersih 5.0, pihak polis perlu menggandakan bilangan anggota yang bertugas sekurang-kurangnya dalam dua hari.

3. Semangat nasionalisme menebal.

Bersih 4.0 di Kuala Lumpur tahun lepas memberi petunjuk paling ketara penguasaan penyokong DAP yang rata-ratanya kaum Cina. Dengan Bersih 5.0 ini, demonstrasi haram ini dipercayai akan menebalkan lagi semangat nasionalisme rakyat di saat negara berada di ambang menyambut Hari Kebangsaan. Majoriti orang Melayu diyakini terus tebal dengan semangat kebangsaannya.

4. Mulut Maria Chin ternganga luas lagi?

Ingatkan rakyat Malaysia bagaimana gambar di muka hadapan akhbar tahun lalu yang memaparkan aksi Pengerusi Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah tertawa besar apabila bertemu penganjur Bersih sebelum itu, S.Ambiga. Maria Chin  seolah-olah tidak ada rasa gundah-gulana, apatah lagi raut wajah bersalah biarpun senario itu dirakamkan semasa mereka tiba untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan itu di Ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.

5. Ada lagi gambar pemimpin negara dipijak?

Bersih 4.0 tahun lepas mencerminkan segelintir rakyat yang tidak bertamadun dengan perlakuan jelek termasuk meludah ke atas gambar pemimpin Melayu (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Adakah aksi yang sama  berulang?

6. Kerugian dialami perniaga di Kuala Lumpur.

Pada penganjuran Bersih 2.0 sebelum ini dilaporkan jumlah tuntutan kerugian sebanyak RM817,205 daripada 317 peniaga yang membuat laporan polis ekoran perhimpunan haram tersebut.

Sepatutnya tindakan undang-undang diambil terhadap penganjur atau pihak bertanggungjawab sehingga menyebabkan peniaga diarahkan tutup kedai akibat demonstrasi haram ini.

Pemimpin pakatan pembangkang yang mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sewajarnya  memberi rebat sewa, elektrik dan air terhadap peniaga-peniaga yang menanggung kerugian akibat perhimpunan tersebut bagi membantu meringankan beban kos kerugian yang ditanggung.

Bayangkan jika peniaga boleh dapat RM200 sehari tetapi disebabkan perhimpunan ini, perniagaan tidak beroperasi, berapa banyak jumlah kerugian ditanggung dan siapa yang mahu bantu menanggung kos tersebut!

7. Pemandu teksi terpinga-pinga rugi

Sebanyak 36,000 buah teksi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dijangka mengalami kerugian. Dalam BERSIH 4.0, anggaran kerugian adalah sebanyak RM 10.8 juta.

8. Gerai-gerai ditutup.

Dianggarkan sebanyak 6,000 gerai di sekitar Kuala Lumpur. Peniaga yang terdiri daripada pelbagai bangsa pastinya akan mengalami kerugian besar. Anggaran keuntungan setiap gerai adalah sekitar RM 1,000 hingga RM50,000 sehari.

9. Pusat beli-belah tak laku

Terdapat 15 pusat beli-belah utama di sekitar Kuala Lumpur dan pasti akan mengalami kerugian yang amat teruk.

Dalam Bersih 3.0 yang lepas, keuntungan kompleks membeli belah Sungei Wang Plaza jatuh sebanyak 30% berbanding minggu-minggu biasa. Di Sogo, Low Yat, Starhill dan Lot 10 mengallami kerugian sebanyak 50% manakala Pasar Seni terpaksa ditutup sepanjang hari. Di Petaling Street pula, lebih 80% kedai ditutup manakala di Suria KLCC, premis berkenaan lambat dibuka dan kebanyakan kedai didalamnya terpaksa ditutup.

10. Gambar demonstrasi disiar ke seluruh dunia

Setiap kali himpunan  haram Bersih, sebanyak 36 stesyen televisyen di seluruh dunia akan memaparkan tentang perhimpunan ini. Keadaan ini juga bermakna nama baik Kuala Lumpur dan Malaysia akan diburukkan dan tercemar ke seluruh dunia.

11. Sektor pelancongan Malaysia terjejas.

Usaha Kementerian Pelancongan untuk meyakinkan pelancong di 44  pejabat pelancongan Malaysia di seluruh dunia terbantut.

12.  Kesesakan teruk

Sekitar sebanyak 1.7 juta populasi penduduk di Kuala Lumpur pasti akan mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk untuk sekurang-kurangnya  dua hari akibat penganjuran perhimpunan Bersih 5.0 andai dibenarkan terjadi kali ini.