24
Sab, Jun
723 ARTIKEL BARU

Mahathir Rakus Selagi Tak Capai `Hajat'

Editorial
Typography

BUKANLAH suatu yang mengejutkan apabila ada pihak beranggapan sikap kebudak-budakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad kian terserlah.

Ini kerana sebelum inipun bekas Perdana Menteri itu telah dinasihatkan oleh ramai orang supaya segera berhenti berpolitik.Kata mereka, dalam usia Dr. Mahathir yang hampir mencecah 92 tahun, adalah lebih elok beliau beri tumpuan  lebih soal ibadat.

Kalau difikir-fikirkan benar juga nasihat mereka ini. Mufti Pahang,  Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman meminta Dr. Mahathir bergiat aktif dalam berdakwah untuk agama. Dengan cara itu umat Islam akan lebih menghormatinya sebagai seorang negarawan.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz juga senada. Sudah sampai masanya Dr. Mahathir menjauhkan diri dari  politik.

Kerana tidak mahu dengar kata inilah timbul bermacam-macam ungkapan atau kenyataan yang bukan-bukan daripada Dr. Mahathir.

Ini sehinggakan apa jua yang dibuat Perdana Menteri serba tidak kena. Kata orang, Dr. Mahathir sudah tahap `mengomel dahsyat'.

Sampai satu peringkat, omongan Dr. Mahathir sudah tidak dapat diterima lagi.

Ini apabila dia kelihatan mempersoalkan tujuan lawatan pemimpin asing - yang bukan secara kebetulan juga negara menerima kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud baru-baru ini.

Terperanjat dibuatnya. Kalau air sedang diteguk, mahu tersembur dibuatnya. Apa kata Dr. Mahathir:

"Ada pemimpin negara asing datang ke Malaysia bukan atas dasar persahabatan tetapi kerana sesuatu yang 'diberikan' oleh perdana menteri kepada mereka. Inilah sebabnya mereka berada di sini."

Pelik dan hairan dengan gelagatnya.

Tambah menyakitkan hati apabila Dr. Mahathir mengatakan jemaah yang mengerjakan haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan memperoleh haji mabrur.

Jadi, bukanlah  pasal `kebudak-budakan' sangat apabila diperhatikan dari tindak tanduk Dr. Mahathir kebelakangan ini. Sebaliknya ia lebih berkait rapat dengan sentimen peribadi dan kemarahannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selagi tidak tercapai matlamat di hati, selagi itulah Dr. Mahathir akan terus mengomel.