23
Kha, Nov
918 ARTIKEL BARU

Rakyat Bersama PM Berdepan Kerenah Pyongyang

Editorial
Typography

TINDAKAN Pyongyang melarang kesemua 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara merupakan perbuatan amat terkutuk. Ya, amat biadab dan  tidak berperikemanusiaan. Kematangan sebagai sebuah kerajaan tidak dicerminkan Pyongyang.

Perbuatan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol memang melampau selepas  enggan memohon maaf kepada Kuala Lumpur setelah membuat tuduhan tidak berasas berhubung kes pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Ini tidak boleh diterima rakyat di negara ini.

Tindakan Kang Chol mengeluarkan kenyataan keterlaluan boleh menggugat banyak perkara termasuk imej, pertumbuhan ekonomi serta hubungan baik dengan negara lain. Apa sahaja yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan sering dianggap kenyataan rasmi.

Dan  dakwaan  tanpa asas dan bukti yang kukuh ini telah menyinggung perasaan rakyat di negara ini. Seolah-olah benar kononnya Malaysia terlibat dengan konspirasi dan ini sudah tentu akan memberi impak kepada nama baik negara.

Justeru,  langkah memutuskan hubungan dengan Korea Utara adalah yang paling tepat agar perkara berbangkit tidak berlarutan. Pyongyang tidak ada sebab untuk menjadikan rakyat Malaysia di sana sebagai tebusan.

Lagi pun, pengusiran Kang Chol telah dibalas oleh Pyongyang  dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Mohamad Nizan Mohamad pula sebagai ‘persona non grata’. Sepatutnya Korea Utara menunggu sehingga siasatan kes pembunuhan Jong Nam selesai sebelum tindakan susulan yang bakal diambil.

Sikap Korea Utara yang mengambil tindakan drastik menahan rakyat Malaysia keluar menunjukkan mereka mempunyai sesuatu untuk disembunyikan. Iaitu bimbang kebenaran kes pembunuhan Jong Nam didedahkan.

Sebagai negara yang berdaulat, Malaysia berhak  menjalankan apa-apa siasatan terhadap kes jenayah yang berlaku di negara ini.

Syabas kerajaan kerana pertahankan prinsip ini. Rakyat Malaysia berdiri teguh di sisi Perdana Menteri untuk berdepan situasi rumit dan luar dugaan yang dicetuskan Pyongyang.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.