30
Sel, Mei
733 ARTIKEL BARU

YAWAS : Kenapa Teresa berbohong?

Editorial
Typography

MARAH benar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok apabila diasak oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim di Parlimen kelmarin mengenai dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Selaku anak Selangor memang patut Irmohizam bertanyakan Teresa adakah benar RM10 juta dari dana YAWAS dimasukkan ke akaun sembilan wakil rakyat pembangkang?

Daripada mana RM10 juta ini diperoleh? Ke mana dan siapakah ahli-ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menerima duit ini? Kenapa peruntukan YAWAS diagihkan ke negeri lain?

Dana yang dikatakan diperuntukkan dalam YAWAS ini besar iaitu amaunnya RM500 juta. Sedangkan pelantikan pengurus besar  yang  mengendalikan dana sebesar ini dikatakan tidak  mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Dikatakan individu terbabit muflis sejak 2008. Bagaimana pula boleh menguruskan  RM500 juta setahun? Bukankah ini  sekali gus mencetuskan  persoalan berkaitan  integriti?

Adakah  juga benar berlaku dana kerajaan Persekutuan telah dimasukkan ke  dalam dana YAWAS?

Skim yang diletakkan di bawah YAWAS kalau disenaraikan memang berkait rapat dengan rakyat akar umbi. Terdapat skim bantuan tadika, skim mesra usia emas, skim kesihatan wanita, Insentif perkahwinan belia dan beberapa lagi. Matlamatnya murni tetapi cara pengendalian dan pengurusannya amat meragukan kerana pernah ditegur oleh Laporan Audit Negara beberapa tahun lalu.

Apabila mendengar ingatan Teresa kepada Irmohizam supaya jangan mempercayai pendedahan  dibuat Pengerusi Gabungan NGO, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkaitan penyelewengan YAWAS, kita semua pasti tertawa sendirian.

Bukan apa, kalau si Rafizi Ramli yang mendedahkan, pasti Teresa bertepuk tampar dan siap akan bagi `bukti lagi’.

Teresa oh! Teresa. Bab menafikan adalah yang nombor satu.

Jamal sebelum ini mendakwa Teresa berbohong dan seorang wakil rakyat hipokrit kerana tidak mengaku telah menggunakan wang  YAWAS hampir RM2 juta sejak 2016 sehingga 24 Februari 2017.

Menurut Jamal, wang tersebut dikeluarkan melalui kad ATM Ambank atas nama Teresa sendiri. Tindakan Teresa yang masih menggunakan kad  ATM tersebut sangat menghairankan kerana beliau merupakan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan, bukannya di Selangor.

Dana YAWAS disediakan untuk ADUN dan Ahli Parlimen di Selangor sahaja bagi disumbangkan kepada waris yang telah meninggal dunia. Setiap keluarga akan diberikan sumbangan sebanyak RM2,500.