24
Isn, Jul
661 ARTIKEL BARU

Muhyiddin `Kecut Perut’ Dengan Mahathir

Editorial
Typography

SEBENARNYA dari awal lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diramal akan berkecamuk kerana parti itu diketuai dua nakhoda. Mana ada parti Melayu yang berketuakan dua kepala. Satu, pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seorang lagi presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan Dr. Mahathir sendiri mahu mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri andai pakatan pembangkang meraih kuasa nanti, sudah pasti beliau tidak akan beri muka langsung kepada Muhyiddin. Kena berperwatakan `diktator’ lah apabila berdepan atau berurusan dengan Muhyiddin.

Sebab itu, tidaklah pelik Muhyiddin dengan pantas buat pusingan U mengatakan PPBM belum membuat keputusan muktamad untuk menyokong cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sedangkan sebelum ini  dilaporkan, timbalan kepada Abdul Hadi iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah memberitahu bahawa Muhyiddin menyokong cadangan pindaan RUU 355 itu.

Bahkan, Muhyiddin menyatakan  kenyataan Tuan Ibrahim mengenai sokongannya itu sebagai tidak tepat. Muhyiddin sememangnya sedar beliau tidak mampu `angkat muka’ apabila berdepan dengan keputusan atau ketetapan PPBM yang diputuskan oleh Dr. Mahathir.

Apatah lagi kalau ia menyentuh RUU 355. Semua maklum apa pendirian Dr. Mahathir dalam topik ini. Bekas Perdana Menteri itu pernah membidas Pas dengan melabelkan Himpunan 355 anjuran parti itu baru-baru ini berbaur politik dan untuk memancing undi.

Bukan itu sahaja. Dr. Mahathir sekali lagi mengitar semula sebab beliau menolak usul penambahan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah yang merangkumi hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan sebatan syariah tidak lebih 100 kali.

“Islam menyuruh kita berlaku adil kepada semua.. Ini nak sebat 100 kali, matilah. Kalau masuk penjara 30 tahun, habislah riwayat dia. Ini bukan cara Islam,” kata Dr. Mahathir seperti dilaporkan media.

Jadi, macam mana lah Muhyiddin tidak buat pusingan U dengan berdolak-dalik ‘sekejap sokong sekejap tidak’ cadangan pindaan RUU 355 ini. Sebelum ini pun, Dr. Mahathir dan Muhyiddin juga berbeza-beza pendirian sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau sebaliknya.

Dr. Mahathir sering mengkritik dan mengugut Pas supaya segera memilih sama ada menjalinkan hubungan dengan UMNO/BN ataupun pembangkang. Sementara Muhyiddin terus dengan diplomasinya, memujuk Pas bekerjasama dengan PPBM.

Nampak gayanya Muhyiddin memang `kecut perut’ apabila berdepan dengan Dr. Mahathir.