13
Rab, Dis
890 ARTIKEL BARU

Mengapa Azmin Takut Pecat 3 Exco Pas

Editorial
Typography

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun cuak juga dengan kedudukan jawatan  Menteri Besarnya. Kalau diambil tindakan drastik memecat tiga Exco Pas dalam pentadbiran negerinya, kacau-bilau juga dibuatnya.

Setidak-tidaknya `imej dan reputasi’ Azmin menjelang beberapa bulan lagi  pilihan raya umum ke-14 tidak terjejas di mata orang Pas.  Yang barangkali juga jika dikekalkan ketiga-tiga mereka,  ada `sedikit harapan’ daripada PKR untuk memujuk hati ahli dan penyokong Pas.

Realitinya tepatkah  tindakan tiga Exco Pas terbabit yang memilih untuk mengekalkan jawatan mereka dalam pentadbiran Pakatan Harapan yang dikepalai DAP serta dianggotai PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Kalau diperhatikan beberapa pemimpin PAN sekarang yang dulunya menang dalam pilihan raya umum ke-13 atas tiket Pas, tidak pula meletak jawatan sebagai wakil rakyat. Padahal meraih kuasa dan kedudukan itu atas platform Pas.

Mereka menentang Pas dari dalam dan mengkritik Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan akhirnya mengambil keputusan keluar parti sebelum menubuhkan PAN. Tetapi mengapa Khalid Abdul Samad, Husam Musa, Mujahid Yusof, Saari Sunqib dan beberapa orang lagi tidak meletak jawatan di kerusi DUN dan Parlimen masing-masing?

Demikian juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dahulu yang masih menjadi pemimpin UMNO tetapi mengkritik parti itu di luar namun masih enggan meletak jawatan. Sebaliknya memilih dipecat sahaja dari parti. Ketiga-tiga mereka juga memilih membatu keras dalam UMNO sebelum dipecat.

Azmin sebenarnya tidak sahaja melihat kedudukan partinya dalam PRU-14 nanti tanpa kelibat Pas di sisi. Tetapi lebih penting lagi masa depan dirinya dalam politik PKR dan Selangor.

Dengan dikelilingi musuh-musuh politik dari dalam terutamanya seperti Rafizi Ramli dan tidak terkecuali presiden partinya sendiri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,  Azmin mesti `bijak’ tarik tali dalam pergelutan politik Selangor akibat penangan Pas ini.

Azmin sedar penggantian  tiga kerusi Exco yang bakal dikosongkan oleh Pas untuk diberi kepada PAN tidak menguntungkan dirinya dan PKR.

Meskipun PAN telah memperolehi undi kedua terbesar dalam pilihan raya kecil Sungai Besar pada Jun 2016 dan jatuh  ketiga di Kuala Kangsar, itu tidak semestinya berita baik bagi PAN kerana jumlah undi disebabkan sokongan dari majoriti masyarakat Cina bersama sebahagian kecil masyarakat Melayu.

PAN sendiri akan menghadapi laluan amat sukar untuk memenangi sebarang kerusi di masa hadapan dalam pertandingan tiga penjuru.

Azmin kini meletakkan `madu di tangan kirinya’ manakala `racun di tangan kanannya’ dalam mencongak-congak keputusan untuk memecat tiga Exco Pas berkenaan.

Dan di akhirnya di mana maruah Azmin?