18
Rab, Okt
775 ARTIKEL BARU

Sultan Tidak Percaya PAN Mampu Bela Islam?

Editorial
Typography

AGAKNYA andai tiga Exco Pas dalam kerajaan PKR Selangor dipecat, parti sekutu Pakatan Harapan manalah yang diharapkan untuk menjadi galang ganti pembela Islam di negeri itu?PAN? Bolehkah?

Walaupun  skop tugas ketiga-tiga Exco Pas  itu tidak terlibat dalam hal ehwal  Islam di negeri itu, namun setidak-tidaknya kelibat mereka ini boleh menjadi `mata dan telinga’ dalam memandu  ke arah pentadbiran urusan Islam yang lebih berkesan di Selangor.

Tanpa mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menguruskan pentadbiran Islam di negeri itu, penglibatan Exco-exco Pas yang  dikenali sebagai parti pejuang Islam dapat `meredakan’ rejaman tajam dan sinis daripada sekutu Pakatan Harapan terhadap isu-isu berkisar Islam kelak.

Kalau tidak masakan Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah murka dengan  tindak tanduk Ahli Parlimen Shah Alam yang juga  Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad yang mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS malah  mencadangkan kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif itu pada 2014.

Khalid pada 18 Jun tahun berkenaan mendesak kuasa eksekutif MAIS dalam menguatkuasakan hal ehwal agama Islam di negeri itu dihapuskan kerana kecewa dengan tindakan MAIS yang tidak mahu memulangkan kitab Bible yang dirampas walaupun sudah diarahkan berbuat demikian.

Tindak tanduk biadabnya mendapat perhatian daripada Sultan Selangor yang menyifatkan Khalid begitu jahil terhadap sejarah Selangor  dan gagal mendalami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

“Beta berasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan pihak tertentu, sebaliknya lebih mengutamakan agenda politik sendiri dan mengelirukan masyarakat,” titahnya  semasa hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid serta Sambutan Nuzul Al Quran Peringkat Negeri Selangor di Sepang.

Sultan Sharafuddin dalam perkara sama turut membidas kenyataan Khalid mengenai peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Sultan Selangor menjalankan tugas sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

Berdasarkan petikan video yang menjadi tular dalam laman sosial itu, baginda juga bertitah bahawa tindakan Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu menunjukkan sikap biadab dan penentangan kepada kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Dalam titah itu lagi, Sultan Sharafuddin turut menegaskan MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain bagi mengamalkan agama mereka.

Jadi, kalau Sultan pun tidak mempercayai PAN untuk membantu baginda dan MAIS dalam urusan pentadbiran Islam, siapa lagi yang baginda harapkan andai Exco-Exco Pas tidak ada nanti dalam pentadbiran negeri?

Inilah yang membingungkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini juga barangkali punca Mohamed Azmin masih cuak untuk memecat ketiga-tiga Exco Pas terbabit.