27
Sel, Jun
634 ARTIKEL BARU

Kempen #BebasAnwar Sudah Berkubur

Editorial
Typography

RAKYAT Malaysia realitinya tidak lagi peduli Kempen #BebasAnwar tajaan pakatan pembangkang.

Pakatan Harapan yang dikepalai DAP dengan rayuan dan perjuangan digerakkan oleh PKR untuk kempen itu kian dipandang sepi dan berkubur dalam perkembangan politik tanah air.

Maka tidak hairanlah Kempen #BebasAnwar di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam setakat pukul 12 tengah hari hanya dihadiri 50 penyokongnya.

Hakikatnya daripada 30 juta rakyat Malaysia, berapa keratkah sahaja yang prihatin dengan nasib Anwar Ibrahim sekeluarga yang selama ini menjadikan airmata sebagai senjata meraih simpati.

Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari 2015 kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun ketika kesalahan itu dilakukan pada 2008.

Dimomokkan oleh pembangkang kononnya kira-kira 52 peratus sokongan rakyat terhadap kempen #BebasAnwar itu hanyalah sekadar angka psikologi yang tidak memberikan sebarang makna.

Malah, sasaran  sejuta tandatangan yang sepatutnya dicapai untuk kempen pembebasan itu pada tahun 2015 hanya sekadar berupaya mengumpul 3.7 peratus daripada jumlah yang disasarkan.

Dan hakikatnya juga Kempen #BebasAnwar ini dilihat oleh majoriti rakyat Malaysia sebagai suatu ketidakadilan kepada mangsa liwat Anwar iaitu  Saiful Bukhari Azlan.

Membaca keluhan bekas pembantu Anwar itu yang dicatatkannya dalam blog peribadinya (www.mohdsaifulbukhari.blogspot.com) pada Februari 2016, rakyat Malaysia akan berasa sedih dan simpati.

Berikut catatannya:

"Anwar merupakan seorang tahanan jenayah dan bukan politik malahan tidak mempunyai sebarang kena mengena dengan penindasan demokrasi seperti yang didakwa pelbagai pihak.

"Anwar telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan diadili oleh sejumlah sembilan orang Hakim (satu di Mahkamah Tinggi, tiga di Mahkamah Rayuan, lima di Mahkamah Persekutuan), di mana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang tujuh tahun.

"Saya juga ambil maklum bahawa rata-rata mereka ini beri tekanan dari sudut 'Human Rights. Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan 'human' atau manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh Badan-Badan 'Human Rights?

"Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh dan  berduit serta kaya-raya dan bukannya orang kecil seperti saya ini, tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?" tanyanya lagi.

"Antara penipuan dan 'spin' yang dikatan dilakukan mereka adalah seperti 'Tuduhan Palsu, 'Tahanan Politik', perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.

"Penipuan yang dilakukan ini bukan sahaja pada rakyat Malaysia, malah pada dunia. Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada Negara-Kerajaan di luar negara, individu-individu Berpengaruh, Badan-Badan Dunia sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi 'Derma Jutaan Dollar' untuk kempen pembebasan Anwar, juga tekanan pada Kerajaan untuk membebaskan beliau.

"Justeru, ingin saya nasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takut lah pada Allah SWT. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu," ujarnya

PKR wajar memikirkan semula teras perjuangan parti itu daripada berkempen untuk Anwar kepada perjuangan untuk rakyat secara keseluruhan.

Di mana silapnya? Adakah Anwar sudah tidak relevan lagi atau sudah mulai dilupakan oleh  penyokong tegarnya?