27
Sel, Jun
634 ARTIKEL BARU

Ambil Sebagai Pengajaran Berguna

Editorial
Typography

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sepatutnya  sebarang keputusan yang berkait rapat dengan  kepentingan rakyat, dirujuk kepada pihak atasan terlebih dahulu.

Dalam isu mengenakan  cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas  lebih 60 jenis barangan makanan bermula 1 Julai ini yang kemudian ditarik balik atau dibatalkan, tindakan itu sepatutnya tidak berlaku.

Mengapa Jabatan Kastam yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy  tidak merujuk dahulu perkara besar yang hendak diputuskan itu dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kabinet?

Bukankah Kastam di bawah MoF? Perkara besar sebegini yang boleh menaikkan `suhu panas’ sepatutnya tidak dibuat sewenang-wenangnya.

Takkanlah  barangan berkenaan, termasuk makanan laut tertentu, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi boleh diletakkan di bawah senarai barangan yang dikenakan GST?

Barangan baru yang dikatakan  akan dikenakan GST itu termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri.

Sementara itu, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis juga akan dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.

Barangan lain termasuk bihun, kuey teow, laksa mee dan minyak kelapa.

Realitinya tindakan melulu begini bukan pihak Kastam nanti yang menjadi bahan kemarahan rakyat, tetapi jari akan dituding kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun beliau tidak terlibat dalam keputusan itu.

Malah, pakatan pembangkang akan mula menangguk di air keruh dengan sebuah portal pembangkang sejak pagi semalam telah menjadikan `keputusan Kastam’ itu tular dengan hits 107,000 sehingga malam tadi.

Perkara ini harus menjadi pengajaran berguna kepada mana-mana agensi kerajaan dan pegawai perkhidmatan awam.

Jangan buat keputusan sendiri sehinggakan yang terpalit imej terjejas teruk adalah nama Perdana Menteri.