20
Rab, Sep
672 ARTIKEL BARU

3 Nakhoda Cepatkan `Kematian’ Pakatan Harapan

Editorial
Typography
BELUM masuk gelanggang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), apatah lagi untuk menang kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), rakyat Malaysia boleh menilai sendiri - boleh percayakah mereka pada kredibiliti Pakatan Harapan.
 
Mana tidaknya, Majlis Presiden atau badan tertinggi pakatan dikepalai DAP ini, diketuai tiga nakhoda. Dengan kata lain, tiga kepala - Pengerusi, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Umum atau De Facto Leader, Datuk Seri Anwar Ibrahim  manakala presidennya, isteri Anwar Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
 
Realitinya, bukan tiga nakhoda tapi sebenarnya empat iaitu DAP sebagai tok dalangnya yang main wayang kulit `mengacu- acu’tiga ketua Melayu ini supaya mengikut rentak mereka.
 
Mengapa DAP yang merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kalangan parti-parti pembangkang ini tidak tertonjol sebagai penyandang jawatan dalam majlis presiden pakatan ini?  Sememangnya itulah taktik mereka, nak bagi tiga parti Melayu pembangkang ini - PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  - syok sendiri dan kononnya merekalah yang layak menjadi pengganti UMNO seandainya menang nanti.
 
Hakikat dan realiti sebenar tidak begitu. Cuba orang Melayu fikirkan perkara yang mudah tetapi amat penting ini iaitu dalam usaha untuk meningkatkan syiar Islam seperti memperkasakan  Mahkamah Syariah pun sudah kalut untuk dibuat keputusan oleh parti-parti yang kononnya mewakili orang Melayu dalam pakatan itu.
 
Padahal, tujuannya murni untuk kebaikan umat Islam dan tidak ada kena mengena dengan bukan Islam.
 
Kehadiran PPBM ke dalam Pakatan Harapan tidak ubah sebagai `penumpang’ dan akan   pergi bila tiba masanya. PPBM hanya  dilihat sebagai  tempat pemimpin yang  gila jawatan dan kuasa sahaja dan bukan  ditubuhkan sebagai sebuah parti yang  ada matlamat perjuangan.
 
DAP  terpaksa  menerima PPBM setelah ketiadaan Pas di dalam Pakatan Harapan. Ini untuk memastikan sokongan Melayu terhadap DAP tidak berkurangan.
 
Dan  perkara kedua yang perlu direnung oleh rakyat negara ini, pasti sekali dengan melihat struktur tiga atau empat nakhoda mengetuai Pakatan Harapan ini akan menyaksikan perebutan sengit jawatan Perdana Menteri dalam kalangan mereka nanti (itu kalau diandaikan menang).
 
Pilihan  DAP dan PKR ialah Anwar Ibrahim manakala PPBM  memilih anak  Dr. Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz.
 
Mungkinkah  rakyat akan melihat sepanjang tiga tahun pertama Pakatan Harapan memerintah  sering berantakan berebut jawatan penting termasuk PM?
 
Begitu juga perkara ketiga - mampukah pakatan mengawal tindak tanduk Dr. Mahathir sebagai pengerusi?
 
Beliau sebenarnya hanya mahu menjadi seorang ketua dan bukan sebagai orang bawahan.
 
Kerana terdesak untuk meraih sokongan orang Melayu,  Kit Siang sanggup bekerjasama dengan musuh ketatnya itu.
 
Juga, pengagihan kerusi PRU-14 dijangka berkecamuk dalam kalangan parti-parti pembangkang nanti.
 
Ini terbukti mereka tiada rekod bersih permuafakatan bertanding dalam pilihan raya.
 
Dalam pilihan raya negeri Sarawak Mei 2016, DAP dan PKR bertembung di enam kerusi di Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong menghadapi calon BN.
 
Ia disusuli Jun 2016 dalam Pilihan raya kecil DUN Sungai Besar dan Kuala Kangsar  membabitkan PAN dan Pas yang bagaimanapun tewas kepada BN.
 
Kalau diikutkan syarat perjanjian Buku Jingga dimeterai pembangkang,  DAP dan PKR sudah pun dipecat kerana berlaga sesama sendiri.
 
Tiga nakhoda mengepalai Pakatan Harapan hanya akan menguburkan pakatan itu.