17
Kha, Ogs
844 ARTIKEL BARU

Takkanlah Semua Skandal Mahathir dulu Rekaan Anwar, Kit Siang?

Editorial
Typography

Pelik sungguh dengan tindak tanduk ketua-ketua Pakatan Harapan yang mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) ini. Bila dahulu setiap individu yang menjadi musuhnya diterkam sehingga lubang cacing dengan mentohmah dan mencari cacat celanya walau sebesar zarahpun, kini apabila dia masuk ke kem pakatan itu, segalanya molek belaka.

Ini walaupun individu terbabit pernah terlibat dalam insiden atau dakwaan kes-kes penyelewengan yang besar. Dahulu pantang sahaja disebut nama individu terbabit, lantas dengan pantas dikaitkan dengan kes-kes berkenaan.

Siapa lagi kalau bukan gerangannya Dr. Mahathir Mohamad yang suatu ketika dikejar veteran DAP Lim Kit Siang dan Ketua Umum Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim dengan segala batu jemala kejahatan dan penyelewengan.

Kalau dilihat senarai berikut hampir nak pitam dibuatnya dengan kes-kes melibatkan Mahathir. Cuba renung-renungkan dan teliti di minda - takkanlah semua skandal bekas Perdana Menteri itu hanya rekaan Anwar dan Kit Siang?

1. BMF 

Skandal kewangan besar yang pertama di Malaysia meletus pada 1983 apabila didapati Bumiputra Malaysia Finance (BMF), sebuah anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Bhd (BBMB) memberi pinjaman RM2.5 bilion kepada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod prestasi samar-samar, termasuk Carrian Group yang berpangkalan di Hong Kong.

Berlaku hanya dua tahun selepas Dr. Mahathir menerajui kerajaan. Skandal itu berlarutan dengan pembunuhan seorang pembantu pengurus yang dihantar ke Hong Kong untuk menyiasat transaksi, kebankrapan Carrian Group, dan akhirnya kerajaan Malaysia mengepam lebih banyak wang untuk menyelamatkan BBMB daripada ditutup.

Kerugian yang ditanggung dalam kemelut itu, termasuk suntikan modal berulang oleh kerajaan, dianggarkan sekitar RM10 bilion. Pada masa itu, BBMB merupakan bank terbesar di Asia Tenggara dan keruntuhan Carrian adalah kebankrapan terbesar Hong Kong.

‘Bailout’ berlaku apabila wang dipam ke dalam sebuah organisasi yang sakit tanpa sebarang pulangan ke atas wang itu.

Sama ada anda menerima dividen atau anda tidak mendapatkan wang anda kembali.

2. Perwaja Steel

Pada 1982, Perwaja Steel dimulakan sebagai syarikat usaha sama antara kerajaan dan Nippon Steel Corporation Jepun. Apa yang sepatutnya menjadi satu projek mega bagi menggalakkan perindustrian Dr Mahathir menjadi tidak keruan kerana syarikat menghadapi masalah pengeluaran, akhirnya melihat Nippon menarik diri daripada kerjasama.

Bayaran faedah meningkat dan kerajaan terpaksa menyuntik RM2 bilion untuk menyelamatkan syarikat itu, bersama-sama pinjaman daripada KWSP dan Bank Bumiputra. Tan Sri Eric Chia (mendiang), sekutu Dr Mahathir dibawa masuk untuk menerajui Perwaja selama tujuh tahun, tetapi meninggalkan syarikat itu dalam keadaan lebih buruk berbanding ketika beliau mengambil alihnya.

Syarikat ini menanggung kerugian tambahan sebanyak RM5.7 bilion dan kerugian RM2.5 bilion. Chia didakwa pecah amanah pada 2004 tetapi dibebaskan tiga tahun kemudian, dan tiada siapa dipertanggungjawabkan bagi kerugian dalam skandal Perwaja, yang didakwa termasuk mengganggu rekod perakaunan.

Keseluruhan kerugian skandal itu dianggarkan hampir RM10 bilion.

Perwaja adalah ‘bailout’ kerana jika wang tidak dipam ke dalam syarikat itu, ia akan muflis.

Sekali lagi, tidak ada pulangan wang kerajaan yang dipam ke dalam Perwaja.

3. Forex

Pada awal 1990-an, Bank Negara mula berkecimpung dalam perdagangan mata wang spekulatif dan perdagangan pertukaran asing dengan jumlah wang yang besar wang, membimbangkan institusi perbankan lain di seluruh dunia. Ia kehilangan hampir RM30 bilion antara 1991 dan 1994, sebelum muflis daripada segi teknikal dan terpaksa diselamatkan oleh Kementerian Kewangan.

Tiada seorang pun daripada eksekutif tertinggi dalam Bank Negara dituduh kerana aktiviti-aktiviti perdagangan itu kerana kerajaan menyerap kerugian sepenuhnya.

4. Malaysia Airlines (MAS)

Pada 1994, ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli mengambil pinjaman daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan untuk membeli kepentingan mengawal saham MAS pada harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran – RM8 sesaham.

Tujuh tahun beliau menerajui MAS adalah tempoh didakwa berlakunya pelbagai urusan penipuan.

Syarikat itu mempunyai RM600 juta rizab tunai apabila Tajudin mengambil alih, tetapi menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM9.4 bilion apabila beliau meninggalkan syarikat itu pada 2001.

Walaupun rugi besar, kerajaan semasa era Dr. Mahathir masih membeli semula MAS daripada Tajudin dengan harga sama ia dijual – RM8 sesaham – dan  itu juga merupakan ‘bailout’. Jika kerajaan tidak membeli saham tersebut, Tajuddin akan muflis. Kerajaan terpaksa membeli balik saham pada cara di atas harga pasaran.

Tajudin terlibat dalam beberapa tindakan undang-undang dengan syarikat-syarikat berkait kerajaan menuntut pinjaman tidak dibayarnya dan walaupun kalah terhadap kes Danaharta dan diarahkan membayar lebih RM500 juta, syarikat dan Tajudin menyelesaikannya di luar mahkamah, apa yang dipanggil sebagai "bailout" oleh pengkritik.

MAS mengalami masalah kewangan sejak itu.

5. Adakah pembelian Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan Mahathir oleh Petronas suatu ‘bailout’?

Bagaimanapun ada menyatakan bukan  bailout. Mirzan  mahukannya pada harga RM2 bilion untuk membolehkannya menampung hutang RM1.7 bilion beliau.

Tetapi Petronas hanya bersetuju untuk membayar RM1 bilion. Jadi Mirzan hilang RM1 bilion dalam perjanjian itu manakala Petronas kemudian menjual syarikat itu untuk keuntungan besar beratus-ratus juta.

Tetapi ada pula menyebut transaksi yang melibatkan syarikat perkapalan milik Mirzan ketika itu yang membabitkan sejumlah ribuan juta ringgit dana Petronas secara jelas merupakan satu langkah ‘bailout’ sebuah syarikat milik swasta menggunakan dana milik awam.  Mana satu betul?

6. PKFZ

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berlaku enam tahun lalu, dianggarkan kerugian kerajaan kira-kira RM12.5 bilion, tetapi tiada siapa setakat ini disabitkan ke atasnya.

Enam orang didakwa, dua dibebaskan manakala 4 kes lain belum selesai. Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) baru-baru ini membincangkan untuk menggugurkan saman RM720 juta terhadap kontraktor Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), menimbulkan persoalan sama ada wang itu akan diperoleh semula.

Projek ini mula diketahui apabila didapati kos menubuhkan zon bebas melebihi RM3.5 bilion. Kuala Dimensi juga membuat keuntungan modal RM993 juta kerana ketika ia membeli tanah dari Pulau Lumut Development Cooperative Berhad pada kadar hanya RM95 juta sebelum menjualnya kepada PKA dengan harga RM 1.8 bilion.

Kerajaan juga melanjutkan pinjaman mudah RM1 bilion bagi projek itu, selepas PKFZ dinasihatkan untuk membangunkan keseluruhan projek dalam fasa tunggal, yang menelan belanja RM1.8 bilion.

Lihat sahaja projek LRT-1 dan LRT-2. Ke mana kesudahannya? Dari projek pengswastaan kepada menjadi ‘bailout’ oleh kerajaan. Berapa banyak wang negara mengalir kerana ketidakcekapan Dr. Mahathir dan kroninya?

Projek transit aliran ringan (LRT) Star dan Putra dimulakan pada 1996, di bawah era kepimpinan Dr. Mahathir yang mentadbir Malaysia dari 1981 ke 2003.

Najib meneruskan kesinambungan itu dengan projek sambungan LRT dan MRT di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya mempunyai 37 stesen – 11 di bawah tanah meliputi jarak 52.km.

Projek ini sepatutnya sudah dilaksanakan 20 tahun lalu, ketika era pentadbiran Dr Mahathir.