20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Pakatan Harapan Berkubur Apabila Masuk Bab Agih Kerusi

Editorial
Typography

SUSAH mahu dinilai kejujuran sesama parti sekutu dalam Pakatan Harapan. Baik DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing sebenarnya memiliki rasa sangsi yang teramat antara satu sama lain.

Setiap parti saling mencurigai sejak tahun lalu lagi apabila jawatan Perdana Menteri pun masih belum lagi diputuskan lagi. Meskipun DAP dan PKR lebih cenderung menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai `PM ke-7’ dari Pakatan Harapan, kehendak itu nampaknya tidak disenangi oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kecelaruan dalam kalangan parti-parti pembangkang juga semakin ketara apabila Dr. Mahathir tiba-tiba sahaja dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan walaupun umum maklum PPBM yang dikepalainya hanya memiliki  satu dua kerusi.

Sepatutnya yang layak menjadi pengerusi pakatan itu ialah DAP kerana parti itu mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam pakatan itu. Ini tidak. DAP menerusi Setiausaha Agungnya yang belum disahkan, Lim Guan Eng hanya sekadar sebagai Timbalan Presiden di antara dua lagi timbalan presiden. Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula tidak ada jawatan - sekadar `main wayang’

Ini kerana DAP lebih realistik. Nak berebut jawatan nombor satu, dua atau berapa pun, parti itu bersedia menyerahkannya. Yang penting, sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan - dianggotai tiga parti Melayu, PKR, PAN dan PPBM -  yang dikepalai DAP tidak susut.

DAP menyedari apabila sahaja pentas gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti dibuka, parti itu akan mendominasi sokongan pengundi Cina tegar mereka. Parti itu hanya memerlukan antara 20 hingga 30 sahaja lagi kerusi Melayu - yang disandarkan kepada tiga parti Melayu tadi.

Inilah tipu muslihat DAP.

Cuma, Pakatan Harapan dipercayai akan berada tidak keruan dan berisiko berkubur apabila tiba bab pengagihan kerusi. Ini kerana PKR dan PAN pasti tidak akan menyerahkan kerusi mereka kepada PPBM dari tinggalan kerusi-kerusi Pas tempoh hari.

PKR dan PAN pula masing-masing akan berebut kawasan. Yang selamat juga DAP. PPBM pula hanya akan mengendeng di kubu-kubut kuat UMNO, yang pastinya sukar untuk mereka tembusi.

Akhirnya, apa yang rakyat Malaysia bakal saksikan nanti ialah parti-parti dalam Pakatan Harapan akan bertikam sesama sendiri sebelum masuk gelanggang PRU-14 - dengan aura Dr. Mahathir sebagai `negarawan’ semakin terhakis dari hari ke hari.

Hanya kemusnahan menanti mereka.