20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Mahathir Tolak Kenyataan Anwar : Permulaan Keruntuhan Pakatan Harapan

Editorial
Typography

Akhirnya, berita tentang Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim berbaik-baik semula hanya sekadar wayang pembangkang untuk mengaburi rakyat sahaja. Ironinya, ianya dibuktikan oleh mereka berdua bukannya parti lawan.

Pergeseran sesama mereka kembali tercetus apabila Mahathir berkata bahawa warkah Anwar Ibrahim menyebabkan masalah kepada Pakatan Harapan kerana ia memberi lampu hijau kepada PKR terus berhubung dengan PAS. Mahathir mahu overdrive pendirian bekas Timbalan Perdana Menteri yang beliau pecat itu.

"Kami akan letakkan tanda noktah untuk (rundingan) itu." katanya.

Persoalannya, apakah pandangan Wan Azizah, Nurul Izzah, Lim Kit Siang DAP dan kroni tegarnya, Lim Guan Eng DAP tentang kenyataan Mahathir yang jelas menafikan perintah Anwar Ibrahim?

Adalah amat jelek sekali jika mereka tidak memberi sebarang respon dan buat-buat bodoh tidak tahu tentang isu besar ini. Dalam masa yang sama, kita menjangka:

  • Parti DAP akan zip mulut dan hanya pentingkan diri sendiri dengan tidak akan menjawab isu yang tidak menguntungkan parti cauvinis itu. 
  • Wan Azizah tidak akan mampu buat apa-apa seperti ketidakmampuan beliau untuk mentadbir parti PKR yang sudah berpecah kepada 2 kem yang saling tikam menikam sesama sendiri depan rakyat.

Sebelum ini penulis telah menulis sikap Anwar Ibrahim yang begitu berat untuk menyatakan dengan tepat pendirian mereka tentang parti PAS. Sikap itu menunjukkan keraguan dan ketidakyakinan Anwar Ibrahim dan PKR terhadap parti Mahathir Mohamad dan parti Mat Sabu.

Tindakan Mahathir yang memperlekehkan kenyataan Anwar tentang kerjasama PKR-PAS sudah pasti akan merenggangkan lagi kerjasama (yang rapuh dan saling tidak mempercayai sesama parti) di antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Dan jika perkara ini bertambah tenat, kita akan menyaksikan keputusan parti DAP yang mungkin akan keluar daripada Pakatan Harapan untuk menyelamatkan parti cauvinis itu. Sikap pentingkan diri sendiri parti DAP ini pernah berlaku apabila mereka keluar daripada Barisan Alternatif pada 22 September 2001.

Yang pastinya, perkembangan terbaru ini telah membangkitkan semula suara-suara aktivis Reformasi dan penyokong-penyokong pembangkang yang membantah kerjasama di antara PKR dan Mahathir Mohamad. Bagi mereka, Mahathir adalah individu yang tidak boleh dipercayai dari dahulu hingga ke saat ini dan tindakan Mahathir menafikan kenyataan Anwar adalah salah satu petunjuknya. 

Pertelagahan di antara Mahathir dan Anwar mengingatkan penulis tentang tulisan Mahathir di dalam bukunya "A Doctor In The House" tajuk 'Cabaran Anwar - Bab 53' daripada mukasurat 812 - 830. Setelah mendapat lebih banyak bukti dan berjumpa sendiri dengan saksi-saksi perilaku Anwar, Mahathir mengambil keputusan untuk memecat Anwar Ibrahim.

Beliau menulis,

  • Berdepan dengan maklumat polis dan hasil temu bual saya sendiri maka saya berasa perlu berbuat sesuatu. Saya sama sekali tidak boleh membenarkan seorang yang berwatak yang meragukan menjadi pengganti saya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Malah, saya tidak boleh membiarkan langsung beliau berada di dalam kerajaan. 
  • Tindakan dan kepura-puraan beliau berlagak sebagai seorang yang warak tidak boleh diterima.
  • Saya juga mendapati cara beliau memerangkap dan kemudian memaksa mangsa menutup mulut adalah sangat menjijikkan.

Mahathir juga menulis,

  • Anwar sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini. Jika beliau bukan Perdana Menteri maka ia adalah kerana perbuatan beliau sendiri. Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya. Saya melakukan apa yang saya rasa terbaik untuk negara.
  • Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya.

Kita tunggu dan lihat episod seterusnya.