21
Sel, Nov
906 ARTIKEL BARU

Mahathirisme Dan Diktatorisme Sudah Sebati

Editorial
Typography

AMAT payah untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu membuang tindak tanduk diktatorismenya.

Pada awalnya semasa masuk Pakatan Harapan tahun lalu, mahu juga satu dua situasi Pengerusi Pari Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini tunduk kepada kehendak  ketua-ketua parti sekutu pakatan itu.

Antaranya yang ketara dalam menilai keikhlasan  bekas Perdana Menteri menjalin kerjasama dengan pakatan dikepalai DAP itu adalah  semasa ketua-ketua parti terbabit mengangkat plakad mempersetujui “Anwar PM  ke-7”.

Tetapi apa yang dilalukan oleh Mahathir ketika itu - dia sibuk pula mengambil gambar dengan telefon bimbitnya.

Kalau hendak menilai kejujuran seseorang, cukup dengan pergerakan spontan itu sahaja untuk menggambarkan suka atau tidak dirinya dengan keputusan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan ketika itu.

Tindak tanduk Mahathirisme dan diktatorisme Mahathir semakin terserlah lagi apabila dia cuba menafikan peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum pakatan itu yang mahukan jalinan pakatan itu dengan Pas terus dirundingkan.

Bagi Mahathir, kerjasama dengan Pas perlu dinoktahkan dengan tumpuan hanya berfokus kepada PAN, PPBM selain DAP dan PKR.

Mahathir sedar bab pengagihan kerusi amat penting dalam memastikan kewibawaan PPBM mampu dicanang-canangkan. Lebih banyak kerusi ditandingi oleh parti diketuainya yang baru setahun jagung tanpa kekuatan akar umbi seperti UMNO itu, akan naiklah `imej dan reputasi’ PPBM.

Menang belum tentu tetapi yang penting masuk gelanggang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) mesti bergaya.

Apa yang kini sudah disedari oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terhadap `diktatorisme’ akibat penangan Mahathir dalam isu menjernihkan hubungan Pakatan Harapan-Pas, bakal menyaksikan kekalutan dalam kalangan parti-parti pembangkang dalam waktu terdekat.

Mahathir dalam pakatan hanya memburukkan lagi keadaan. Barangkali PPBM bukanlah `rakan strategik’  terbaik pakatan.

Tanpa ahli akar umbi serta tanpa cawangan dan bahagian yang sebenarnya kewujudan dua komponen itu penting dalam mana-mana parti, PPBM sebenarnya hanya berimejkan dua orang sahaja, Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

Jalan terbaik Pakatan Harapan untuk survive berdepan Barisan Nasional (BN) cuma satu sahaja - singkirkan PPBM dari pakatan, kalau tidak pun Mahathir - yang hanya bawa onar dan duri.

Lupakah sahaja Mahathir. Mahathirisme dan Diktatorisme nya sudah sebati. Tak boleh buat apa dah.