20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Rafizi Si Pembohong Besar Tidak Serik-serik…

Editorial
Typography

MUNCUL  lagi si putar alam, si Rafizi Ramli ini untuk  mengadu domba dan memfitnah. Kali ini dia muncul dalam video yang dimuatnaik menuduh kononnya lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat adalah lawatan tidak rasmi.

Jika mahu diambil terus tuduhan Naib Presiden PKR ini yang orang ramai cukup maklum merupakan `penabur fitnah’, takkanlah White House mengeluarkan kenyataan rasmi pada 23 Ogos lalu mengesahkan lawatan Perdana Menteri.

Inilah sikap jumud dan busuk hati pembangkang di negara ini. Mahu dicari juga walau sekelumit ‘cacat’ kerajaan meskipun tidak masuk akal sama sekali alasannya.

Sepatutnya yang perlu dikupas oleh Rafizi adalah impak lawatan Perdana Menteri ke negara Uncle Sam itu. Apa hasil pertemuan Najib dengan Presiden Donald Trump. Bukannya  bersikap kebudak-budakan menyogok rakyat dengan alasan tidak munasabah dan hanya menjadi bahan gelak ketawa.

Sebenarnya tidak sukar membaca sebab mengapa beria-ia sekali Rafizi menidakkan lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat.

Rafizi, malah sebahagian besar ketua-ketua parti pembangkang dalam Pakatan Harapan berasa sakit hati kerana fitnah yang mereka lemparkan terhadap Najib kononnya Perdana Menteri akan ditangkap di Amerika Syarikat tidak menjadi.

Malah, Lim Kit Siang dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dua pemimpin pembangkang yang mahu melihat kerajaan BN tumbang dan Najib digulingkan terpaksa `berputih mata’ menyaksikan kebenaran muncul dari hari ke hari. Malaysia tidak bankrap, malah semakin berdaya saing dalam segenap aspek.

Apa yang difitnah oleh pembangkang telah memakan diri. Sebilangan rakyat negara ini yang sebelum ini terpengaruh dengan dakyah dan fitnah memburukkan Najib, pasti sudah mula buka mata terhadap siri pembohongan yang datang daripada pembangkang.

Rafizi! walau apa sekalipun alasan dan auta anda terhadap kerajaan termasuklah memperlekehkan lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat, rakyat Malaysia sudah tahu tembelang anda - pembohong besar.